malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Cabaran alam kampus dipapar dalam teater 'Kerikil'
ADS

Cabaran anak-anak muda dalam menghadapi kehidupan di universiti dan alam kampus serta pelbagai masalah yang terpaksa mereka tempuhi akan dipaparkan dalam satu teater bertajuk 'kerikil'.

Persembahan teater oleh 25 penuntut Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu akan diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam selama tiga hari bermula hari ini.

Teater itu merupakan pengisian utama bagi 'Diploma Art Showcase 2017', yang merupakan acara tradisi penuntut FiTA untuk melaksanakan satu projek persembahan sebagai penilaian akhir sebelum mereka menamatkan pengajian.

Pementasan teater itu mendapat sentuhan pengarah teater Norzizi Zulkifli yang juga pensyarah FiTA.

Norzizi berkata beliau memilih tajuk 'Kerikil' bagi menggambarkan batu-batu kerikil sebagai simbolik kepada cabaran dan peristiwa pahit manis yang perlu dilalui setiap pelajar demi menggapai kejayaan sebagai graduan.

"Ia menceritakan bagaimana 25 penuntut universiti mengharungi kuliah harian sehinggalah perlu mengharungi dan mengatasi pelbagai masalah serta ada dalam kalangan mereka yang perlu berdepan dengan kegagalan dalam perjuangan menimba ilmu di kampus," katanya kepada Bernama.

Norzizi yang baru sahaja selesai dengan pementasan 'Throne of Thorne' bulan lepas memilih untuk mementaskan 'Kerikil' dalam bentuk 'devised play' yang memberi kelainan dari segi pengarahan dan penghasilan jalan ceritanya.

"'Devised play' dalam teater bermaksud pementasan itu dijayakan tanpa mengikut skrip sebagaimana lazimnya teater arahan saya sebelum ini, sebaliknya skrip pementasan ini akan terbina ketika proses latihan diadakan untuk disesuaikan dengan jalan cerita yang dipilih.

"Ini merupakan pertama kali saya mengarahkan teater 'devised play' dan ia merupakan antara kaedah terbaik dikongsikan dengan penuntut berkenaan agar mereka diberikan lebih pendedahan mengenai kepelbagaian dan cabaran dalam pementasan teater," katanya.

Menurut beliau pada mulanya penuntut yang terlibat tidak begitu yakin dengan cara persembahan itu, namun hasil latihan selama 13 minggu menjadikan mereka lebih yakin untuk menjayakan teater 'Kerikil' itu.

Selain 25 penuntut tahun akhir FiTA itu, pementasan turut dijayakan tiga penggiat teater iaitu Hamzah Tahir, Aminah Rhapor dan Mazlan Tahir serta penampilan istimewa personaliti terkenal Fara Fauzana.

"Penglibatan mereka ini selaku orang industri mampu memberi kelebihan kepada bakat muda untuk menimba pengalaman dan pada masa yang sama dapat memeriahkan lagi pementasan teater 'Kerikil' ini," katanya.

Untuk hari ini dan Ahad, ia diadakan pada 8.30 malam manakala esok teater dipentaskan dua kali iaitu pada 3.30 petang dan 8.30 malam. Tiket bagi menyaksikan teater itu berharga RM13 dan RM15.

- Bernama

Lihat Komen