malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Joe harap Wings 'boleh pergi jauh'
ADS

Saat sukar dan jatuh bangun bersama Wings tidak mungkin dapat dilupakan bekas pemain gitar kumpulan itu, Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 47.

Joe yang baru-baru ini membuat kejutan apabila mengumumkan sebuah kumpulan baru - Prime Domestic - percaya keputusannya meninggalkan Wings merupakan ketentuan Ilahi dan mengandungi hikmah di sebaliknya.

"Ini adalah qadaq dan qadar yang harus diterima. Saya tidak mahu toleh ke belakang lagi kerana matlamat utama adalah untuk terus memandang ke hadapan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Bagaimanapun, gitaris itu tidak mahu konflik dalaman yang pernah dilalui bersama Wings bakal berulang untuk kumpulan baru yang diasaskannya.

“Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Saya sokong mereka dan doakan berjaya.

“Sejarah tidak boleh diubah tetapi jika mereka ingin ubah masa depan tidak mengapa. Saya harap mereka boleh pergi jauh,” katanya.

Bagi Joe, apabila menubuhkan Prime Domestic, dia berharap dapat menghasilkan muzik yang berkualiti buat peminat rock tempatan.

"Saya memang serius untuk hasilkan sesuatu yang berkualiti kerana tidak mahu setakat berdiri di atas pentas dan anggap usaha itu sudah memadai.

"Saya mahu kumpulan itu gah di mana-mana, mantap dari segi kawalan kualiti dan muzik yang dibawakan,” katanya.

Joe menyatakan harapannya itu ketika ditemui pada sidang pengumuman showcase band itu yang dijadual berlangsung pada 2 April depan di bangunan G Tower, Kuala Lumpur.

Selain Joe, Prime Domestic turut dianggotai Aweera (vokalis), Hillary Ang (gitaris), Gee (bes) dan Ainoll (dram). Kumpulan itu pada asalnya adalah sebuah band projek ditubuhkan Joe dan Hillary - bekas ahli kumpulan Search - pada 2011.

Konflik mengenai Wings mulai dihidu wartawan apabila Konsert 30 Tahun Wings yang sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember 2016 ditunda.

Wings kini dianggotai Awie sebagai vokalis, Eddie (bes) dan Black (dram).

Lihat Komen