Joe dan Wings - Kisah klasik tanpa dendam


(Dikemaskini )

Walaupun terkait dengan kontroversi membabitkan masalah dalaman Wings, bekas pemain gitar kumpulan itu, Joe, menjelaskan dia tidak menyimpan sebarang dendam terhadap tiga lagi anggota grup terbabit.

Dengan tenang Joe berkata, dengan ketiadaannya dia berharap Wings mampu mengorak langkah lebih jauh.

"Sejarah sepanjang kami bersama tidak boleh diubah dan jelas saya tidak mahu memusuhi sesiapa.

"Ini kerana kami berkawan terlalu lama dan saya tidak akan bercerita buruk tentang sesiapa.

"Hubungan kami akan kekal baik, malah saya sokong mereka dari jauh, selain mendoakan Wings terus berjaya.

"Saya harap peminat beramai-ramai menyaksikan konsert Awie & Superfriends, Belenggu Irama," katanya.

Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 47, ditemui pada sidang media memperkenalkan band Prime Domestic yang dianggotainya di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, sebelum mengambil sebarang keputusan ketika itu, mereka berempat banyak membincangkan jalan penyelesaian bagi konflik yang melanda.

Bagaimanapun, Joe menyerahkan kepada umum untuk terus membuat andaian mengenai statusnya bersama Wings.

Dan Joe mengharapkan peminat dapat menerima kenyataan dirinya tidak lagi bersama Wings.

"Sama ada undur atau tidak, hal itu tak perlu ditanya kerana keputusan dibuat demi kebaikan bersama. Biarkan kami berempat saja yang tahu.

"Biar apa saja keputusan itu yang menyatakan saya disingkirkan atau undur diri, saya terima," katanya.

Vokalis Wings Awie sebelum itu berkata, kumpulan itu tidak kisah dengan ketiadaan Joe sebagai gitaris utama mereka.

Namun kata Joe, sudah menjadi lumrah mana-mana kumpulan untuk terpalit dengan kontroversi seperti dialami Wings.

Justeru, masalah harus ditangani sebaik mungkin.

"Kontroversi mesti ada tetapi kami anggap perkara itu manis supaya masing-masing boleh menjadikan ia pengalaman baik.

"Walaupun saya tiada formula untuk bersatu kembali dengan Wings tetapi kalau terjumpa diharapkan bolehlah berkolaborasi," katanya.

#}