Munafik 2: Naskhah Islamik tambat Nasir Bilal Khan


(Dikemaskini )

Ternyata, naskhah berunsur Islam yang boleh mempengaruhi aspek kerohanian penonton berjaya menambat hati Nasir Bilal Khan untuk menerima tawaran berlakon dalam Munafik 2.

Katanya, sudah sekian lama dia mendambakan peranan dalam sebuah naskhah yang menonjolkan ajaran Islam dan mendidik masyarakat.

“Abang Nasir memang tercari-cari filem yang dapat menjadi wadah dalam menyampaikan dakwah, mesej atau ilmu kerana bersetuju dengan kaedah sebegitu.

“Memang Abang Nasir berharap wujud filem yang dapat membentuk pemikiran dan moral masyarakat.

“Suatu hari nanti, Abang Nasir yakin filem berlandaskan keagamaan seperti ini akan berada di tempat sepatutnya,” katanya.

Nasir ditemui pada sidang media pelancaran filem Munafik 2 di Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Munafik 2 merupakan sekuel kepada Munafik yang ditayangkan pada 2016 dan berjaya meraih kutipan pecah panggung dengan anggaran RM19 juta.

Buah tangan terbaru Syamsul Yusof itu akan turut dijayakan antaranya oleh Maya Karin, Fizz Fairuz, Mawi, Ku Faridah dan Datuk Rahim Razali.

Kalau sudah biasa melihat karakter Tok Adi - seorang alim dan beriman - dibawakan Nasir dalam drama bersiri Tanah Kubur selama 15 episod, kali ini aktor berkenaan tampil dengan sisi berbeza.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada imejnya selama ini dipamerkannya mungkin menerima kesan negatif apabila membawakan watak antagonis, Nasir menolak perkara itu.

"Ya, abang Nasir tidak kisah dikecam. Jika orang membenci watak yang dilakonkan ini bermaksud watak itu berjaya dibawa.

"Sekiranya ada orang benci pun abang Nasir tidak kisah kerana yang penting jangan Allah pula benci.

"Tetapi yang penting kita dapat mengubah masyarakat daripada tidak baik menjadi baik dan daripada tak tahu jadi tahu," katanya.

Terkilan dengan TV

Sebenarnya Nasir mengakui pernah terkilan dengan corak kisah sering dihasilkan oleh syarikat televisyen.

Katanya, hal itu menyebabkannya memencilkan diri dari terus berkecimpung dalam dunia hiburan buat seketika.

Tetapi rajuk itu tidak lama.

"Dalam keadaan negara kita yang sekarang, sepatutnya macam perkara kita kena perkatakan kepada masyarakat.

"Tapi benda itu kita tidak sentuh dan sentuh perkara yang tidak kait- mengait. Benda itu abang Nasir tidak berapa nak faham.

"Sebab itu abang Nasir ambil keputusan untuk meluangkan masa dengan program kebajikan seperti mengutip dana untuk pelarian Rohingya atau penduduk Aceh," katanya.

Share