malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Dayang nyanyi konsert amal demi biasiswa pelajar
ADS

Dayang Nurfaizah antara penyanyi yang akan menjayakan konsert amal bagi mengumpul dana untuk tabung biasiswa sebuah pusat pengajian tinggi.

Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-31 itu diundang menjayakan konsert amal demi Tabung Yayasan UTP.

“Tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan pelajar kejuruteraan, sains dan teknologi. Malah saya anggap peluang ini sebagai satu penghargaan.

“Biasanya penghargaan datang dengan tanggungjawab dan hal itu akan cuba saya penuhi demi masa depan pelajar,” katanya.

Pemilik nama penuh Dayang Nurfaizah Awang Dowty 35, itu ditemui pada majlis pradengar Konsert Tapestry of Colours (TOC) 2017 di Kuala Lumpur semalam.

Konsert gala muzikal itu bakal menampilkan pelbagai lagu dan tarian kebudayaan diwarisi tempatan serta antarabangsa.

TOC dijadual berlangsung pada 29 Julai depan di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Naib Canselor UTP Datuk Dr Abdul Rahim berkata, pemilihan Dayang dibuat berdasarkan pencapaiannya setelah 15 tahun bergelar anak seni.

Katanya, projek sedemikian melatih pelajar untuk mempunyai kemahiran sampingan sebagai persiapan menghadapi dunia kerjaya.

“Kami ingin memupuk pelajar untuk menguasai bukan hanya satu bidang tetapi pelbagai kerana aspek itu diyakini membantu mereka lebih menonjol semasa mencari peluang pekerjaan di luar sana.

“Muzikal gala ini dianggap sebagai platform bagi pelajar memperluaskan kemahiran sosial selain membantu mereka membina keyakinan dalam diri untuk berhadapan umum,” katanya.

Lihat Komen