malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ali Moertopo dan Bahasa Indonesia: Resensi Sayap V
ADS

Sayap V, hasil tulisan Arafat Hambali mengisahkan tentang pergolakan emosi watak utama iaitu Alina dalam merempuh kehidupan yang pahit sejak masa kecilnya lagi.

Ingatan-ingatan dan pengalaman-pengalaman itu membuatkan Alina tumbuh menjadi seorang yang dapat berdiri sendiri meskipun sekali-sekala dalam tulisan ini dia juga terlihat ragu-ragu dengan dirinya dan orang lain.

Selain Alina, terdapat beberapa watak lain yang ditonjolkan dalam Sayap V. Antaranya ialah Yudha.

Sepertimana judul tulisan ini ‘Sayap V’ dan sampul depan buku yang seolah-olah mengandungi konotasi keperempuanan, ia mungkin memberikan petunjuk mengenai Alina sebagai tokoh terpenting dalam cerita ini.

V di sini juga mungkin merujuk kepada ‘vagina’. Bagaimanapun, sebagai pembaca, saya dapat merasa yang Yudha ialah watak sampingan yang telah mengambil alih watak utama, Alina. Watak Yudha juga tidak kurang beratnya, lebih-lebih lagi pada saat dia cuba untuk meluahkan cintanya.

Tidak kira melalui senggamanya atau kata-katanya terhadap Alina dan watak-watak lain.

Kesungguhan penulis

Tidak dapat dinafikan yang Sayap V menunjukkan usaha dan kesungguhan penulis, Arafat Hambali untuk memaparkan realiti sebenar manusia dan masyarakat hari ini menerusi watak-watak lain seperti Hiz, Marriati dan Geo, dan beberapa latar tempat yang memberi tanda-tanda tersirat iaitu Rumah Kopi Semalam, Rumah Sakit dan Kantor Kerajaan.

Sayap V sedikit sebanyak berisi komen-komen politik, ekonomi dan sosial yang berselang-seli dengan persoalan puisi, seni dan falsafah.

Maka dengan itu, persoalan yang agak ketara dalam tulisan ini ialah konflik dalaman dan luaran yang dihadapi oleh manusia dan bagaimana ia menyesuaikan dengan kemanusiaan.

Sayap V mencetuskan persoalan dalam kalangan pembacanya tentang penggunaan Bahasa Indonesia. Penulis telah pun menjawab persoalan itu ketika pelancaran Sayap V di Malaysian Book Publishers Association (MABOPA) Bookfest pada 25 Februari 2017.

Arafat Hambali menyatakan bahawa penggunaan Bahasa Indonesia adalah satu bentuk pertanyaannya tentang status gagasan penubuhan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM), yang kemudiannya dikembangkan menjadi Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Berasa janggal

Dalam konteks ini, Malaysia dan Indonesia memang jelas bersaudara dalam bahasa.

Namun begitu, penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia yang berganti-ganti dalam Sayap V membuatkan saya berasa janggal ketika membacanya.

Perkara ini kerana bahasa menjadi lambang kepada identiti sosial untuk mana-mana kelompok manusia. Ia tidak hanya sebagai satu sistem tanda.

Bahasa Indonesia dipakai oleh sekumpulan orang yang berlainan, dengan cara berfikir yang berlainan, dan di tempat yang berlainan pula dengan Malaysia.

Sehubungan dengan itu, penggunaan Bahasa Indonesia didorong oleh konteks Indonesia itu sendiri. Menulis dengan menggunakan Bahasa Indonesia tetapi dengan cara berfikir orang Malaysia itulah yang menimbulkan kekakuan terhadap pemakaiannya.

Hal ini juga sama dengan penggunaan Bahasa Malaysia yang jika dibaca oleh orang Indonesia sudah tentu akan sedikit sebanyak membingungkan.

Harus tahu sejarah

Di beberapa halaman awal, Alina dan Yudha berteka-teki tentang peranan Ali Moertopo dalam menggagalkan Ganyang Malaysia dan seterusnya tentang seruan Soekarno. Ia dimulai dengan pernyataan Alina, “Ali Moertopo itu revolusioner?” setelah Yudha mengatakan bahawa Ali Moertopo ialah perokok berat Surya dan kretek adalah untuk revolusioner.

Saya kurang pasti ke mana hala tuju atau maksud sebenar perbualan berkenaan. Sayang sekali, bagi saya, Arafat Hambali tidak menyelongkar dengan lebih jauh.

Ali Moertopo sebenarnya individu yang telah membuka jalan bagi kekuasaan Soeharto. Penentuan Pendapat Rakyat (PEPERA) di Papua Barat yang dibuat oleh Ali Moertopo adalah tidak sah dan dia jugalah antara individu yang bertanggungjawab menyebabkan kekerasan dan penderitaan di Papua Barat.

Ali Moertopo pada tahun 1966 menyatakan bahawa “Indonesia tidak menginginkan orang Papua, Indonesia hanya menginginkan tanah dan sumber daya alam yang terdapat di dalam pulau Papua. Kalau orang Papua ingin merdeka, silahkan cari pulau lain di Pasifik untuk merdeka. Atau meminta orang Amerika untuk menyediakan tempat di bulan untuk orang-orang Papua menempati di sana”.

Justeru, dalam Sayap V, sebuah tulisan yang mungkin bertujuan untuk mengkritik isu-isu politik mahupun sosial, juga harus tahu sejarah.

Ia adalah lebih membuka mata sekiranya Sayap V ditulis dengan perasaan dan kegemuruhan rakyat yang marah kerana tidak dapat lagi bertahan dengan penderitaan. Ia kurang dapat dirasai dalam tulisan ini.

Walau bagaimanapun, Sayap V ialah satu tulisan yang harus dihargai usahanya dalam mengangkat permasalahan-permasalahan utama masyarakat; kemiskinan.

Sebagaimana Alina yang ingin bebas dari hal yang membelenggunya, begitu jugalah dengan golongan tertindas yang ingin merdeka daripada masalah ekonomi.


SHARIFAH NURSYAHIDAH SYED ANNUAR Penulis buku Kaki Jalan, Gadis, Punk dan Aktivis.

Lihat Komen