malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Maya Karin bintangi Munafik 2 bukan demi anugerah
ADS

Keinginan aktres Maya Karin untuk meraih kejayaan tidak pernah pudar kerana aktres itu lazimnya tidak jemu menyandang gelaran Pelakon Wanita Terbaik sekiranya rezeki itu miliknya.

Bagi Maya, kehendak manusia tidak terbatas dengan apa yang dikecapi tetapi itu bukanlah bermaksud dia mahu bersikap riak atau sombong.

"Saya tidak pernah bosan merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan kalau hendak beri setiap tahun pun tidak mengapa.

“Bukannya saya hendak berlagak sombong atau besar kepala, tetapi biasalah timbul perasaan teruja setiap kali dapat pengiktirafan daripada industri.

“Lagipun saya memang suka bekerja sebagai pelakon untuk cari pendapatan. Alhamdulillah rezeki semakin hari semakin bertambah,” katanya.

Pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke, 37 itu ditemui pada sidang media pelancaran filem Munafik 2 di Hulu Kelang, Selangor.

Filem seram berunsur keagamaan itu merupakan buah tangan terbaru Syamsul Yusof dan bakal memulakan penggambaran pada 20 Mac depan.

Maya diberikan tanggungjawab menghidupkan watak Sakinah, seorang ibu tunggal yang berdepan masalah dan cuba mencari penyelesaian menerusi seorang lelaki bernama ustaz Adam, lakonan Syamsul.

Munafik 2 merupakan sekuel kepada Munafik pada 2016 yang berjaya meraih kutipan pecah panggung dengan anggaran RM19 juta.

Munafik (2016) juga menerima banyak pencalonan serta memenangi beberapa anugerah termasuk menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik lakonan Nabila Huda.

Jangan pasang niat salah

Menurut Maya, dia selalunya tidak bertindak terburu-buru dalam memilih watak sebaliknya meneliti skrip terlebih dahulu sebelum menerima tawaran membintangi sesebuah filem.

Namun, berbeza kali ini apabila dia memberikan kepercayaan penuh kepada Syamsul untuk menerajui filem tersebut tanpa menyemak terlebih dahulu skrip yang diterima.

“Biasanya saya tidak akan menerima sesuatu tawaran tanpa membelek dua hingga tiga babak terlebih dahulu, tetapi saya beri 100 peratus kepercayaan kepada Syamsul kerana dia pengarah yang mempunyai rekod cemerlang," kata Maya.

Maya bagaimanapun menafikan keputusannya berlakon di bawah Skop Production Sdh Bhd milik Datuk Yusof Haslam itu semata-mata kerana terdesak untuk memburu anugerah.

“Jangan sesekali menerima projek dengan memasang harapan salah, sebab disebabkan niat serong lakonan akan terjejas dan rezeki filem akan berkurangan,” katanya.

Nama Maya sering dikaitkan dengan filem bergenre seram dan mula mendapat perhatian selepas dia membintangi Pontianak Harum Sundal Malam.

Filem-filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam 2, Waris Jari Hantu, dan Jwanita pula menyusul selepas itu, juga membawakan tema sama menyebabkan anak kacukan Melayu-Jerman itu seolah-olah tidak dapat lari daripada julukan 'ratu seram'.

Pun begitu, katanya, pembabitannya sebagai pelakon sejak berkecimpung dalam industri pada 2001 tidak terhad kepada kisah seram semata-mata.

“Saya tidak takut kalau orang kata nama saya sinonim dengan cerita seram, tidak mengapa kerana memang lebih cenderung ke arah itu.

"Tetapi bagaimana dengan Ombak Rindu, Cun, dan Pisau Cukur yang tiada kena mengena dengan cerita hantu?

“Saya sangkal kalau hendak dikatakan nama saya asyik dikaitkan dengan filem seram saja,” katanya.

Lihat Komen