malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
2 hari masuk, karya 'sensitif' keluar pameran
ADS

Harapan sebuah kumpulan kreatif dari Sabah Pangrok Sulap untuk melihat karya mereka dihayati orang ramai tidak kesampaian apabila ia diturunkan dari dinding pameran selepas dua hari.

Ukiran kayu bertajuk “Sabah tanah air-ku” itu dispekulasi menjadi mangsa susulan mesejnya dikatakan “sensitif” kerana menyentuh isu sosial dan politik tanah air.

Bagaimanapun, pengkarya setakat ini mahu mahu menutup mulut kerana mahu mendapatkan maklum balas penganjur terlebih dahulu.

“Kami tidak boleh memberi kenyataan melulu kerana tidak mahu isu ini diperbesarkan. Kami beri mereka peluang dulu.

“Kami menunggu maklum balas daripada pihak penganjur mengenai nasib karya Sabah Tanah Air-ku itu sebelum boleh membuat sebarang kenyataan,” kata Rizo Leong, 33, ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

“Sabah tanah air-ku” antara karya yang menyertai pameran “Escape from the Sea” anjuran Yayasan Jepun di Art Printing Work (APW), Bangsar, Kuala Lumpur.

Sebuah laman web seni melaporkan terdapat campur tangan politik di sebalik tindakan itu.

“Escape from the Sea” yang berlangsung dari 24 Februari hingga 23 April depan adalah sebahagian daripada program pembangunan kurator Yayasan Jepun.

'Bukan isu'

Sementara itu, Rizo berkata kumpulan itu memang biasa mengangkat tema sosial dalam karya-karya mereka.

“Pangrok Sulap hasilkan banyak karya yang meningkatkan kesedaran dan bagi saya semua tempat juga ada masalah sosial, jadi ia bukanlah satu isu,” katanya.

Malaysiakini sudah mengunjungi tempat pameran semalam tetapi gagal mendapat reaksi penganjur kerana kuratornya tiada ketika lawatan.

Soalan bagaimanapun telah dihantar kepada pihak berkenaan dan portal ini sedang menunggu jawapannya.

Nama Pangrok berasal daripada perkataan punk rock dan Sulap pula membawa maksud tempat petani berehat dalam bahasa Kadazan Dusun di Sabah.

Komuniti yang ditubuhkan pada 2010 itu mula bergiat aktif sekitar tahun 2012 dan melakukan beberapa projek amal seperti mural untuk bangunan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Mereka tidak mempunyai anggota tetap dan kumpulan itu terbuka kepada individu pelbagai latar, seperti jurumekap, bakal guru dan petani.

Pangrok Sulap sudah menyertai kira-kira 10 pameran sejak ia diasaskan.

Lihat Komen