malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Cerita 'stokin jahat' tentang balak, Anu dan Siti K
ADS

Dia boleh dikatakan bermula sebagai watak misteri. Berada di United Kingdom, zaman itu belum ada Facebook atau Twitter. Yang ada cuma blog.

Tanpa nama dan paparan wajah sebenar, orang mula mengenali dia sebagai "Abdullahjones". Entah Melayu, entah Inggeris, entah Arab, entah jawa.

Ketika itu dia lebih banyak menulis berbanding melukis. Tulisannya jarang yang tidak menyakitkan hati. Tetapi kemarahan itu kadang-kadang tidak dapat diarahkan ke mana-mana kerana susuk Abdullahjones itu tidak diketahui ramai.

Pada masa sama dia terus menulis di blog. Bukan satu, tapi sekurang-kurangnya tiga. Dia juga menghasilkan buku Sajak-sajak Suci dengan tetap menyembunyikan identiti dirinya.

Masa berlalu dan watak kabur itu kemudian mengalami proses evolusi. Daripada tidak dikenali, dia mula mahu dikenali. Namanya juga lebih dikenai sebagai Abdullahjones.

Watak itu kemudian kurang menulis secara serius tetapi lebih banyak melukis dan melakar. Pun begitu pada lukisan-lukisannya dia tidak lupa juga mencoret kata-kata dengan sifat lamanya - jarang tidak menyakitkan hati.

Selain itu, mesej yang ingin disampaikan melalui lukisan dan tulisannya juga dipaparkan dengan agak polos. Tak perlu berlapik atau berlapis sangat.

"Ini demokrasi seni. Kita pilih cara yang kita mahu. Kalau orang lain nak sampaikan mesej dengan cara berlapis, biarlah," katanya kepada Malaysiakini.

Dia sedang mengadakan pameran solo di Galeri Artcube di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Secara teknikal, ia adalah pameran solo keduanya selepas yang pertama dilakukan benar-benar bersendirian di dataran sekitar KLCC pada 2012.

Kini dia tampil dengan Blues Malaya. Bagi rakan yang dekat atau lama mengenalinya, lukisan Abdullahjones kali ini kekal 'jahat'. Dalam mempersona dia mengena atau mengata.

Jari tengah pun ada

Menariknya, bagi sesetengah pentafsir, lakaran, warna dan kata-kata pada pameran Blues Malaya ini dibaca secara songsang.

"Jika orang memberi tafsiran lain daripada apa yang saya sampaikan, tak ada masalah.

"Seseorang pelukis tidak diwajibkan untuk menjelaskan apa yang ingin mereka sampaikan.

"Sesebuah lukisan sudah cukup menyatakan apa yang ingin disampaikan pelukisnya. Selepas itu terserah kepada orang untuk mentafsirnya," kata Abdullahjones.

Maka, entah disedari atau tidak, ada media yang menyiarkan lukisan Abdullahjones tanpa tapisan seperti selalu mereka lakukan walaupun ia memaparkan imej 'jari tengah'.

Ada beberapa nama menjadi ilham kepada lukisan Abdullahjones kali ini. Antaranya: Yuna (penyanyi), Jeff Ooi (anggota parlimen), Siti Kassim (peguam) dan J Anu (Anurendra Jegadeva yang juga seorang pelukis).

Tidak ketinggalan, isu mengenai pembalakan di Kelantan yang agak mudah difahami - jika anda selalu mengikuti perkembangan semasa politik negara - melalui lukisan bertajuk Balak vs Wala'.

Pada lukisan itu tertera beberapa ayat 'jahat' seperti: "Gua Musang, lu sapa?", "Dah nama pun hutan nak simpan buat apa" dan "Hutan simpan... simpan untuk siapa".

Lukisan How A Punkster Say Goodbye To His Dead Friend pula mengambil insiden ucapan "adios" Anggota Parlimen Jelutong, Jeff Ooi, ketika Datuk Dr Haron Din meninggal dunia pada September 2016.

Turut mendapat perhatian pelukis berasal dari Kuantan, Pahang itu ialah isu Puncak Purnama yang disebut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sebagai "menyakitkan mata".

Jika sebelum ini Abdullahjones menggunakan beberapa tema biasa - seperti kerbau - untuk fokus lukisannya, Blues Malaya memaparkan imej stokin yang boleh disalahertikan dengan objek sulit.

Mengapa stokin?

"Saya nak jadi macam tok dalang yang memainkan pelbagai watak menggunakan stokin. Ia juga objek yang universal dan dikenali semua," katanya.

Jika siri kerbau dulu dia memaparkan semangat Melayu dan nusantara yang kuat, siri stokin pada Blues Malaya ini pula membawa "semangat antarabangsa".

Namun pada kedua-dua subjek kerbau dan stokin itu Abdullahjones mengekalkan unsur humor.

Dia juga menyatakan tidak berniat menjadikan bentuk stokin itu sebagai gambar lucah. Kecuali lukisan Freedom Of Speech At Its Highest Level (Free To Insult) yang ditujukan kepada J Anu.

Pelukis itu pernah dianggap menghina Islam melalui salah satu lukisannya.

"Untuk lukisan itu, imej yang dilukis memang berbentuk kemaluan," katanya.

Lukisan berjudul Siti K pula jelas dibuat dengan merujuk kepada peguam yang kritikal itu, Siti Kassim.

Kepada Siti, Abdullahjones menitipkan pesan: "Datanglah, tengok lukisan."

Di sebalik pelbagai sindiran kepada ramai orang itu dan mungkin mengundang kemarahan Abdullahjones tetap tenang.

"Apa nak jadi, jadilah," katanya sambil tersenyum.

Dan memang begitulah. Ia diterima baik dan setakat ini belum nampak atau ada khabar mengenai lukisannya diarah diturunkan atau dimarahi.

Blues Malaya dipamerkan sehingga 26 Mac ini, manakala perasmiannya pada 16 Mac.

Lukisan yang dipamerkan dijual pada harga antara RM1,500 hingga RM29,000.

Lihat Komen