malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pentingnya zuhud untuk mencari cinta sejati
ADS

Tidak dinafikan, kehidupan dunia yang kita jalani hari ini adalah perlumbaan untuk mengejar harta, pangkat, rumah mega mahupun kereta mewah.

Ia berkait dengan persaingan untuk menghias-hiaskan hidup kita dengan kesenangan, kenikmatan dan kebendaan.

Walhal dunia ini sudahpun kita fahami hanyalah kehidupan sementara, tidak kekal dan akan hancur. Sedangkan kehidupan dunia ini sudahpun kita maklumi hanyalah permainan, perhiasan dan senda gurau.

Apa yang menghairankan, biar pun bagaimana pengetahuan mengenai hakikat dunia, sikap kita masih lagi cenderung untuk mencintai dunia.

Kita masih juga tidak bersungguh-sungguh untuk mencintai akhirat.

Apakah kita masih mempunyai sikap yang sama kalau dunia ini dijelaskan sebagai lebih jelek daripada bangkai kambing?

Apakah kita masih tidak mahu peduli kalau dunia ini dianggap tidak ada harganya meskipun hanya seberat sayap nyamuk?

Buku karya Yazid Abdul Qadir Jawas ini membahaskan lebih lanjut tentang hakikat dunia, celaan daripada Allah SWT dan Rasululullah SAW mengenai dunia serta perbandingan antara kehidupan dunia dengan akhirat yang lebih abadi.

Tak tamak dunia

Kupasan pengarang mengenai hakikat dunia yang diumpamakan lebih jelek daripada bangkai kambing dan tidak ada harganya seperti sayap nyamuk ini bukanlah pandangan peribadi semata-mata melainkan dipetik daripada hadis yang sahih.

Apakah dunia ini benar-benar dilaknat Allah?

Melalui buku setebal 196 muka surat ini, pengarang memperjelaskan bahawa dunia pada hakikatnya tidaklah dicela tetapi celaan itu ditujukan kepada perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh hamba Allah di dalamnya.

Dunia hakikatnya adalah jambatan untuk menuju syurga atau neraka. Namun ketika dunia dikuasai oleh syahwat, kelalaian dan berpaling daripada Allah dan negeri akhirat, maka nama dunia itu sendiri sudah tercemar dan dunia dicela secara mutlak.

Selepas memperjelaskan mengenai hakikat kehinaan dunia ini, pengarang mengajak pembaca untuk menghindarkan diri dari cinta dunia, tidak tenggelam dalam kenikmatannya serta lebih merindukan alam akhirat.

Melalui buku ini juga pengarang menegaskan tentang kepentingan zuhud di dunia sebagai cara mendapatkan cinta Allah lantas mencintai akhirat.

Zuhud yang dimaksudkan ini ialah zuhud seperti dilakukan oleh ulama salaf iaitu tidak tamak kepada dunia, tidak cinta kepada dunia selain tidak mengharamkan apa yang telah Allah halalkan.

Bagi orang yang zuhud, mereka memiliki harta kekayaaan tetapi harta itu hanya di tangan tetapi tidak beraja di hati.

Bagi mereka yang zuhud di dunia, harta yang ada akan segera diinfakkan di jalan Allah selain meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat di akhirat.

Secara keseluruhannya, buku ini memberikan semangat kepada pembaca untuk menjadi hamba Allah yang tujuan hidupnya adalah akhirat.

Buku ini memberikan kita motivasi untuk menjadi anak-anak akhirat, bukan anak-anak dunia.

Tajuk: Dunia Lebih Jelek Daripada Bangkai Kambing
Penulis: Yazid Abdul Qadir Jawas
Penerbit: Pustaka Attaqwa, Bogor Indonesia
Tebal: 196 halaman


NOR RAIHAN ABU BAKAR bekas wartawan yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka

Lihat Komen