malaysiakini logo
story-image
ADS

Di kulit belakang buku ini cuma ditulis:
Tentang Persahabatan:
Tentang Cinta;
Tentang Perpisahan;
Tentang Melupakan;
Tentang Hujan

Begitupun, mengenali pengarangnya, Tere Liye, lewat novel-novelnya lalu, saya cukup sedar kemampuan penulis ini untuk mempersembahkan sesuatu yang begitu istimewa, berbeza, menyegarkan dan membuat pembaca langsung teruja.

Hujan nampaknya tidak terkecuali. Nampaknya novel ini mengekalkan status Tere Liye (sekurang-kurangnya pada saya) sebagai seorang pengarang yang begitu handal atau “super awesome” untuk tempoh 10 tahun terakhir ini.

Malah, novel ini bagi saya adalah novel Tere Liye yang paling menarik dan terhebat.

Dalam Hujan ini Tere Liye cuma mahu menyampaikan satu mesej iaitu menerima takdir pahit dengan berlapang dada, seperti yang dikatakan Elijah:

“Ratusan orang pernah meminta agar semua kenangan mereka dihapus. Tetapi sesungguhnya bukan melupakan yang jadi masalahnya. Tapi menerima. Barangsiapa yang bisa menerima, maka dia akan bisa melupakan. Tapi jika dia tidak bisa menerima, dia tidak akan pernah bisa melupakan”
 

Itulah mesej utama yang hendak disampaikan pengarang. Namun begitu disebabkan penulis ini seorang yang kreatif maka beliau mengambil tahun 2042 sebagai latar cerita yang dimulakan dengan letusan gunung berapi dahsyat yang menyebabkan iklim dunia berubah sehingga tidak mampu dikendalikan lagi.

Ketika seluruh dunia panik dengan goncangan dan gegaran, Lail (gadis berusia 13 tahun) diselamatkan oleh Soke Bahtera atau Esok, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dalam stesen kereta bawah tanah yang runtuh dan mengorbankan ibu Lail dan empat abang Esok.

Kehidupan di khemah pengungsian menyebabkan mereka berkawan rapat sehinggalah Lail mencecah usia 21 tahun, manakala Esok 23 tahun.

Dalam jeda masa begini, mereka menyimpan perasaan antara satu sama lain tetapi disebabkan pelbagai masalah dunia yang meruncing ketika itu, mereka tidak berpeluang untuk lebih membicarakan tentang soal hati masing-masing.

Lail sibuk dengan tugas sukarelawan, Esok pula sibuk kerana terlibat dengan misi rahsia untuk memindahkan penduduk dunia dari bumi yang akan punah.

Plot cerita ini memang mengasyikkan dan menepati tagline di kulit belakang tadi. Memang ada cerita tentang persahabatan, memang ada cerita tentang perpisahan, tentang cinta pastinya, tentang melupakan dan tentang hujan.

Paling mendebarkan di akhir-akhir bab ini apabila Lail tidak terpilih untuk meninggalkan bumi ketika Esok mendapat dua tiket untuk menaiki kapal dan meninggalkan bumi yang akan hancur. Adakah Esok akan memberi tiket itu kepada Lail juga?

Agaknya judul ini dipilih sebab banyak perkara gembira yang berlaku dalam hidup Lail akan terjadi seiring dengan waktu Hujan. Mungkin juga tajuk ini dipilih sebab bumi sedang menuju kemusnahan apabila terlalu banyak gas panas dilepaskan ke udara sehingga awan tidak terbentuk lagi dan dunia ini jadi musnah kerana tidak ada Hujan.

Tajuk: Hujan
Penulis: Tere Liye
Penerbit: PT Gramedia Pustaka Utama
Muka surat: 320 halaman


NOR RAIHAN ABU BAKAR bekas wartawan yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka

Lihat Komen