malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Isu gambar bogel tak halang Idris Khan pilih watak jahat
ADS

Ketika seseorang pelakon terpalit dengan kontroversi, pemilihan watak protagonis dalam sesebuah drama atau filem mungkin sedikit sebanyak dapat membantu memulihkan imejnya.

Namun berlainan pula dengan pelakon Idris Khan yang namanya pernah dikaitkan dengan isu gambar bogel dan menjadi tular di media sosial, sejak setahun lalu.

Aktor itu seolah-olah tidak kisah mengenai tanggapan umum terhadap dirinya, biarpun kes itu masih tinggal 30 peratus dalam siasatan.

Bagi Idris, kontroversi tidak seharusnya menghalang kariernya, termasuk melakonkan watak antagonis sekiranya diberi tawaran.

"Bagi saya kerja adalah kerja dan ia langsung tiada kena mengena dengan kontroversi.

"Kontroversi adalah hal peribadi dan sebagai manusia kita tidak terlepas daripada dihimpit masalah, tetapi jangan biarkan hal itu memusnahkan kehidupan," katanya yang pernah memegang watak utama dalam Duda Terlajak Laris di slot Akasia TV3.

Idris atau nama penuhnya Idris Khan Abdul Ghaffar Khan, 28, ditemui pada sidang pelancaran mesin laser PicoWay oleh pakar kulit Dr Ko di Kuala Lumpur semalam.

Pada 2015, industri tanah air gempar apabila media hiburan mengaitkan nama Idris, Ammar Alfian dan Atikah Suhaimie dengan rakaman klip video di ranjang.

Meksipun tiada sebarang bukti visual didedahkan, isu itu terus berlanjutan selepas beberapa keping gambar bogel dikatakan mirip Atikah Suhaimie dan Idris tersebar di Internet.

Tidak seperti dulu

Mengenai kisah persahabatan yang terjalin dengan Ammar sebelum kontroversi itu timbul, Idris mengakui hubungan mereka tidak serapat dahulu.

“Kami berkawan sejak dulu dan ada juga berhubung kadang-kala cuma tidaklah seperti selalu kerana saya ada kehidupan sendiri, dan Ammar pula sudah berkahwin,” katanya.

Malah sejak timbul isu panas membabitkan namanya, kehadiran Idris dalam industri pula seolah-olah kurang diperkatakan, bagaimanapun, aktor itu menyangkal dakwaan sama ada mahu lari atau terus menyepi.

Idris berkata, selain beralih arah ke stesen televisyen berlainan, dirinya kini lebih berhati-hati agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan.

“Saya bukan senyap tetapi masih berlakon, kini di stesen RTM pula, malah menjadi rakan kongsi bersama Pekin Ibrahim untuk syarikat produksi filem ditubuhkan, Centro Pictures yang diasaskan sejak setahun lalu

“Berhubung kes terbabit, sementara menunggu kertas siasatan lengkap saya dinasihatkan peguam dan polis untuk tidak membuat sebarang kenyataan kerana bimbang ia mengganggu proses dijalankan,” katanya.

Lihat Komen