malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Lohan ajak rakyat Amerika sokong Trump
Diterbitkan:  Feb 20, 2017 11:59 AM
Dikemaskini: 4:18 AM
ADS

Pelakon Lindsay Lohan melawan arus di Hollywood apabila baru-baru ini menyeru rakyat Amerika supaya menyokong presiden Donald Trump.

Lohan berkata rakyat negara itu perlu berdiri di belakang presiden, walaupun Trump sendiri pernah memberikan komen berbaur seksis terhadapnya ketika masih remaja pada 2014.

"Lihat, saya fikir kamu akan jadi perhatian bila berada di mata umum dan dia adalah presiden, jadi kamu mesti sertai dia.

"Kalau kamu tak boleh kalahkannya, sertai dia," katanya dalam temubual secara langsung dengan The Daily Mail, baru-baru ini.

Aktres itu yang mengecap populariti selepas membintangi filem seperti The Parent Trap dan Mean Girls - sebelum terjebak dengan penyalahgunaan dadah - turut menyatakan minatnya mengenai agama Islam.

Islam agama Indah

Lohan menyifatkan Islam sebagai agama yang indah dan tidak menolak kemungkinan memeluk Islam dengan berkata 'Segalanya mungkin'.

Pelakon itu juga berkata telah mempelajari al-Quran dan bimbang jika kembali ke Amerika Syarikat kerana iklim politik semasa dan perintah eksekutif Donald Trump yang melarang rakyat daripada tujuh negara majoriti Islam memasuki republik itu.

"Saya takut untuk datang ke sini dengan segala yang terjadi kerana kepercayaan peribadi saya," katanya.

Lohan baru-baru ini meluangkan masa melawat kem-kem pelarian Syria di Turki, dan menggesa Trump menawarkan sokongan kepada mereka yang dipindahkan, walaupun telah menguatkuasakan larangan sementara terhadap mereka.

Mahu Trump ke Turki

Aktivis itu, yang baru-baru ini bertemu dengan Presiden Turki Tayyip Erdogan, berkata: "Banyak yang dah Turki buat dan sebab itu saya cuba sampaikan kepada Donald Trump untuk bawa dia ke sana, dan lihat semua benda positif yang mereka lakukan dan bagaimana Amerika juga boleh membantu.

"Dan saya fikir ia akan jadi satu perkara positif bagi Amerika untuk tunjuk keprihatinan dan sokongan mereka, dan supaya Trump mendapat pengalaman dengan orang-orang ini dan bagaimana Turki membantu pelarian," katanya.

Apabila ditanya siapa yang ingin dibawa bersama untuk membincangkan krisis pelarian itu, Lindsay mencadangkan beberapa rakan termasuk pelakon Mean Girls, Rachel McAdams.

"Angelina Jolie ... Donald Trump ... Putin - lebih ramai tokoh kita ada (lebih baik). Brad Pitt ... mungkin seseorang seperti Rachel McAdams akan jadi lebih meriah," katanya.

Januari lalu, ketika pelantikan Trump sebagai presiden, Lohan turun ke jalanan dan mengimbas kembali komen lelaki itu pada 2014.

"Saya mengharapkan yang terbaik.

"Kita hidup dalam dunia di mana masyarakat konsisten mencari kesalahan orang. Saya fikir ia adalah satu faktor yang menakutkan. Menjatuhkan orang lain bukan jawapannya dan saya rasa kita semua tahu," katanya.

Trump, dalam satu temubual radio bersama Howard Stern ketika Lohan berusia 18 tahun berkata "Dia mungkin amat bermasalah dan oleh itu hebat di atas katil. Mengapa wanita amat bermasalah, anda tahu, amat, amat bermasalah sentiasa terbaik: di tempat tidur"

Lihat Komen