malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Raja Ilya tekad tonjol bakat baru
ADS

Bukan mustahil untuk seseorang kekal lama dalam bidang diceburi asalkan berani mencuba.

Itulah yang dilakukan pelakon Raja Ilya apabila melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menceburkan diri dalam penerbitan filem.

Dan untuk pertama kali dalam hidupnya, Ilya bakal merealisasikan impiannya bergelar penerbit melalui kerjasama bersama syarikat dari Indonesia.

Pun begitu, Ilya menegaskan kerjasama dijalinkan dengan produksi luar bukan bermakna dia ingin mendabik dada, lupa daratan mahupun mengetepikan asal-usulnya.

“Saya cuba membawa dan mengharumkan nama Malaysia ke Indonesia menerusi kolaborasi yang diadakan bersama produksi berkenaan, dan mana tahu filem itu mungkin boleh dipasarkan lebih meluas. Hingga ke AS, misalnya.

“Masyarakat perlu melihat dan terima saya sebagai rakyat Malaysia secara keseluruhan bukan memandang hanya sebagai individu, itu lebih positif,” katanya.

Ilya atau nama penuhnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 31, ditemui pada malam tayangan Soulmate Hingga Jannah di Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Buah tangan terbaru Prof A Razak Mohaideen itu turut dibintangi penyanyi terkenal Singapura, Taufik Batisah, selain Erra Fazira, Reen Rahim dan Douglas Lim.

Filem yang menjalani penggambaran antaranya di Chiangmai, Thailand itu berkisarkan cinta dan kasih seorang suami yang setia pada janji isteri, tetapi berhadapan konflik apabila dia jatuh cinta pula dengan seorang wanita yang memiliki sifat seperti isterinya.

Ada ilmu kena amalkan

Sebenarnya, Ilya memilih untuk menjadi seorang penerbit kerana berasakan bilangan pelakon baru tumbuh bak cendawan dari sehari ke sehari.

Bimbang suatu hari nanti akan tiba masanya sukar untuk bersaing, pelakon terbaik Anugerah Skrin 2015 itu memilih untuk menonjolkan bakat baru dalam dalam syarikat produksi diasaskannya lebih setahun lalu.

“Kalau bercakap soal karakter belum pernah dibawa, sampai 10 tahun dalam industri pun belum tentu dapat walau boleh dimekapkan jadi seperti orang tua sekalipun.

“Akan ada yang pelakon lebih popular daripada kita dan mereka diberi peluang itu, jadi cara lebih baik adalah dengan berlakon dan menerbitkan sendiri,” katanya.

Sekalipun Ilya melebarkan sayap aktivitinya, itu tidak bermakna karier digalas sebagai pelakon mahu ditinggalkan begitu saja.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, sayangnya pada bidang lakonan tetap utuh dan tindakannya mencuba perkara baru adalah demi meluaskan masa depannya sebagai anak seni.

“Saya mahu melangkah jauh satu persatu tetapi tidak mahu tinggalkan industri.

“Namun, saya juga tidak mahu selama-lamanya menggalas tugas sebagai pelakon hingga 20 tahun lamanya.

“Saya mahu menyumbangkan sesuatu kepada industri, apa guna kalau ada ilmu tetapi tidak diaplikasi,” katanya.

Lihat Komen