Pelakon jelita Fazura mengaku tidak kisah jika ditakdirkan jodohnya dengan lelaki berbangsa asing asalkan ia membawa kebaikan kepada dirinya dan juga agama.
Selain itu, Fazura turut meletakkan syarat kepada lelaki yang ingin menyuntingnya sebagai isteri supaya menghormati dirinya sebagai wanita.
"Saya tidak kisah sekiranya lelaki itu Cina, India, atau orang putih saya terima.
"Keutamaan haruslah dia membawa kebaikan kepada diri saya dan agama. Kalau itu sudah ketentuan Allah saya akan terima.
"Dan kalau baru mula berkenalan jangan meraba-raba atau terus mahu mengaku kekasih," katanya.
Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 33, ditemui pada sidang media menandatangani kerjasama dengan pihak Universal Music Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Fazura membuat kenyataan itu selepas klip video memaparkan seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) mempertahankan kehadirannya di Times Square New York menjadi tular di media sosial sejak 13 Januari lepas.
Menerusi video berdurasi 10 minit itu, Randy Seidman yangjuga seorang Deejay dilihat mempersoalkan tindakan dua lelaki memegang plakad provokasi bagi melarang kemasukan komuniti Islam ke negara itu.
Bangga dibela rakan lain agama
Presiden AS Donald Trump Jumaat lepas mengeluarkan perintah eksekutif bagi mengharamkan kemasukan penduduk dari tujuh negara majoriti Muslim ke republik itu.
Ketika kejadian, panggilan teman wanita diberikan Seidman terhadap Fazura turut menimbulkan spekulasi mereka berdua sepasang kekasih.
Menurut penyanyi Hancur Aku itu, Seidman bukan seperti disangkakan tetapi hanyalah teman yang sudah lama dikenali.
Malah tindakan Seidman mempertahankannya pula bukan dianggap sesuatu yang luar biasa.
"Sebenarnya dia bukan mempertahankan saya tetapi kesemua umat Islam. Di Amerika banyak orang terkesan dengan isu ini. Kepada mereka ia sangat sensitif apabila ada diskriminasi terhadap bangsa dan agama lain.
“Dan saya bangga ada kawan berlainan agama tapi mereka buka mata bahawa kita harus bela sesama sendiri dan ia memulihkan kepercayaan saya terhadap kemanusiaan.
"Sebenarnya ramai yang membela kita dan kita juga perlu berbuat perkara sama,” katanya.