malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kaabil buatkan Hrithik tekad dermakan mata
Diterbitkan:  Feb 2, 2017 12:10 PM
Dikemaskini: 4:21 AM
ADS

Aktor Bollywood Hrithik Roshan memilih untuk bersikap pemurah bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya ke-43 dengan berikrar mendermakan matanya.

Hrithik mengambil keputusan itu pada 10 Januari lalu selepas membintangi filem arahan Sanjay Gupta, Kaabil.

Dalam filem itu, Hrithik membawakan watak sebagai seorang lelaki cacat penglihatan yang menjana pendapatan menerusi bidang alih suara.

Menurut pengarah urusan Hospital Mata Aditya Jyot, Dr S Natarajan, Hrithik bersetuju mendermakan matanya selepas dia menghubungi pelakon itu.

“Apabila saya melihat trailer Kaabil, saya meminta Rakesh Roshan (penerbit) untuk bertanyakan sama ada Hrithik berminat mendermakan matanya.

“Saya begitu terkejut apabila dia beritahu anak lelakinya juga sudah merancang berbuat demikian.

“Apabila berbincang dengan Hrithik, dia memberitahu saya untuk menyambut hari jadinya dengan menghadiahkan matanya,” kata Natarajan.

Secara kebetulan, pakar mata berkenaan adalah doktor sama yang pernah berkhidmat untuk datuk Hrithik, komposer terkenal Roshan.

“Walaupun Hrithik berikrar mendermakan matanya ketika menyambut hari kelahirannya, aktor itu meminta kami merahsiakan perkara itu.

“Bagaimanapun, kami ingin menyebarkan kisah ini agar dapat memotivasi yang lain untuk mencontohi keprihatinan Hrithik,” katanya.

Emosi Hrithik tersentuh selepas mendapat tahu kadar bilangan individu buta sebelah mata dijangka meningkat di India pada tahun 2020.

Sebanyak 75 peratus daripada kes berkenaan boleh dielakkan tetapi disebabkan kekurangan penderma mata, kebanyakan pasakit tidak mendapat rawatan secukupnya.

Selain Hrithik, Aishwarya Rai, Rajinikath, Amitabh-Jaya Bachchan, Suniel Shetty, Madhavan, Rani Mukerji, Sonakshi SInha and Hema Malini sudah berikrar menjadi penderma mata.

Lihat Komen