malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jupe rasa bagai lahir semula
Diterbitkan:  Jan 16, 2017 9:35 PM
Dikemaskini: 1:38 PM
ADS

Perjalanan selama 11 hari menunaikan umrah buat pertama kali mengubah sudut pandangan penyanyi dangdut Julia Perez mengenai agama.

Meskipun ketika ini dia sedang berjuang melawan penyakit barah pangkal rahim tahap empat, pengalaman berharga di Mekah tidak dapat dilupakan. Bagi Julia, dia berasa keimanannya kini semakin kukuh.

Walaupun sebelum ini dia sering dikaitkan dengan imej seksi, Julia yang popular dengan gelaran Jupe itu berkata dirinya kini seolah-olah dilahirkan semula.

Perasaan itu, katanya, dirasai selepas dia pulang dari tanah suci ditemani Ria Irawan dan ibunya.

“Dilahirkan semula ibarat disucikan. Saya berharap dapat bermula dari peringkat awal,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Malaysiakini sebelum ini menyiarkan laporan mengenai berat badan Julia merosot ketara dipercayai kesan daripada penyakit barah dialaminya.

Ekoran gejala penyakit itu, Julia juga dikatakan hilang nafsu makan kerana menjalani rawatan kemoterapi seminggu sekali.

Meskipun berharap dapat memulakan kehidupan baru, bekas isteri pemain bola sepak kelahiran Argentina, Gaston Castano, itu pasrah selain menyerahkan takdirnya untuk ketentuan Allah SWT.

“Kesakitan kerap datang dan ada orang mengingatkan dilahirkan semula itu sukar, tetapi Dia selalu hadir bersama kita.

“Ia sama sebagaimana kita mengharungi permasalahan hari ini.

“Saya menanganinya dengan sabar, tetapi ada ketikanya air mata tumpah jua. Saya percaya kepada keajaiban,” katanya.

Lihat Komen