malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pop yeh yeh gegar Istana Budaya sekali lagi
ADS

Selepas agak lama sepi daripada arus perdana, irama pop yeh yeh bakal kembali menggegarkan pentas pada Mac ini.

Bertempat di Istana Budaya, enam penyanyi terkenal era 1960-an akan menghiburkan pendengar selepas kali terakhir ia diadakan di situ dua tahun lalu.

Penyanyi yang tersenarai untuk muncul pada konsert Gegar Pop Yeh Yeh itu ialah Datuk A Rahman Hassan, Datuk L Ramlie, Datuk Jeffrydin, J Sham, A Rozaini dan Maria Bachok.

Persembahan itu berlangung selama tiga malam mulai 3 Mac.

Penerbit konsert, Siti Rohayah Attan, berkata persembahan itu dijangka dapat mengubat kerinduan peminat yang kepada zaman pop yeh yeh.

Siti Rohayah berkata, konsert itu turut bakal menampilkan tiga artis muda iaitu Aiman Tino, Ayda Jebat dan Janna Nick.

Katanya artis baru digabungkan dengan penyanyi era 60-an untuk alunan muzik pop yeh yeh mendapat lebih pendedahan.

Mengenai kesesuaian penyanyi baru membawa lagu irama 60-an, Siti Rohayah berkata, isu itu tidak timbul kerana menyampaikan irama itu tidak sesukar muzik lain.

“Bagi saya, lagu pop yeh yeh lebih mudah berbanding menyanyikan lagu Yuna, balada atau tradisional.

“Apabila artis lama dan baru digandingkan dalam satu persembahan, pasti akan ada kelainan dan ia dianggap strategi untuk terus menggalakkan perkembangan irama malar segar itu.

“Buat masa ini, Aiman sudah memberikan persetujuan, cuma masih menunggu keputusan daripada pihak Ayda dan Janna,” katanya.

Menurut Siti Rohayah lagi, peminat akan menyaksikan persembahan selama dua jam yang diiringi pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya, Agogo Istamuzika.

Sementara itu, Aiman yang popular dengan lagu Kurela Dibenci berasakan tidak wajar untuknya melepaskan peluang keemasan apabila ditawarkan beraksi bersama bintang popular pop yeh yeh.

Bagaimanapun, Aiman mengakui dia harus mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk menjayakan konsert berkenaan, tambahan pula ia adalah persembahan pertamanya di Istana Budaya.

“Ini adalah masanya untuk saya menunjukkan bakat selain menimba pengalaman menyanyi bersama artis legenda.

“Saya anggap Konsert Gegar Pop Yeh Yeh memberi cabaran besar kerana bukan mudah untuk menyampaikan lagu yang lain dari yang biasa saya sampaikan kepada pendengar sebelum ini,” katanya.

Lihat Komen