malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert Wings di KK tak batal cuma tunda
Diterbitkan:  Jan 6, 2017 9:29 PM
Dikemaskini: 1:35 PM
ADS

Penundaan konsert Wings yang sepatutnya diadakan pada 24 Disember lalu didakwa tidak ada kena mengena dengan isu pemain gitar utamanya, Joe.

Menurut kenyataan penganjur konsert, Datuk Shahrul Nizad, konsert Wings 30 Tahun Live @ Sabah itu dipinda atas permintaan beberapa pihak, termasuk peminat kumpulan popular itu.

“Ini kali pertama saya dengar kononnya penundaan konsert itu disebabkan Joe.

“Jadi kami ambil langkah tepat untuk menundakannya. Tidak ada kena mengena dengan Joe seperti khabar angin sebelum ini,” katanya dilapor portal Utusan Online.

Sebelum ini ada pihak mendakwa konsert di Stadiu Likas berkenaan dibatalkan dan ia ada kaitan dengan isu pembabitkan Joe dalam Wings.

Persembahan berkenaan dibuat sempena memperingati tiga dekad pembabitkan mereka dalam industri hiburan negara.

Malaysiakini pada 4 Oktober 2016 melaporkan, konsert berkenaan juga sepatutnya memberi ruang istimewa kepada golongan kelainan upaya serta sumbangan atlet Paralimpik yang menyertai temasya sukan berkenaan tahun lalu.

Bagaimanapun kumpulan itu dikatakan berdepan masalah, termasuk perselisihan faham membabitkan anggota Wings.

Bagaimanapun vokalis Wings, Awie, menafikan khabar angin tersebut.

Shahrul berkata, berbeza daripada tanggapan sesetengah pihak, konsert itu bukan dibatalkan sebaliknya hanya ditunda ke tarikh yang belum ditetapkan.

Jika ada masalah melanda anggota Wings, katanya, ia dianggap tetap tidak akan menjejaskan persiapan konsert berkenaan.

“Sebenarnya kami akan mengadakan sidang akhbar pada bulan ini untuk mengumumkan tarikh baru konsert tersebut.

“Jadi jangan risau, konsert akan diteruskan malah saya juga baru bercakap dengan Awie. Dia juga tidak memberi tanda yang mereka dalam masalah,” katanya.

Sementara itu portal berita sama melaporkan Awie - atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, yang mendapat anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang membawa gelaran Datuk - enggan memberi sebarang kenyataan ketika dihubungi mereka.

Lihat Komen