malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Om Puri meninggal dunia, terbaring di lantai dapur
ADS

Industri filem India pada Jumaat meratapi kematian aktor veteran Om Puri yang bakatnya terkenal bukan sahaja di dalam negara bahkan di persada antarabangsa.

Puri meninggal dunia di rumahnya di Mumbai pada usia 66 tahun selepas mengalami serangan jantung, kata keluarganya.

"Ia sukar dipercayai. Beliau meninggal dunia sekitar 6 hingga 6.30 pagi. Beliau dijumpai terbaring di lantai dapur," kata isterinya, Nandita Puri yang dipetik laporan media tempatan.

Puri amat disegani di Bollywood dan dunia perfileman berikutan kehebatan lakonan beliau dalam banyak filem popular, termasuk 'Bajrangi Bhaijaan', filem pecah panggung terbaharu yang turut dibintangi Salman Khan.

Beliau tampil dalam kira-kira 300 filem yang turut meliputi beberapa produksi Pakistan, Britain dan Hollywood.

Antara filem lakonan beliau yang popular adalah 'Gandhi', 'The Reluctant Fundamentalist', 'Charlie Wilson's War', 'East Is East', 'The Hundred Foot Journey' dan 'City of Joy'.

Puri dilahirkan di Haryana dan merupakan lulusan Film and Television Institute of India di Pune di Maharashtra. Beliau membuat kemunculan sulung dalam filem Marathi berjudul 'Ghashiram Kotwal' pada 1976.

Karan Johar, Mahesh Bhatt, Amitabh Bachchan dan Kamal Haasan merupakan antara selebriti filem India yang menyuarakan rasa terkejut dan sedih atas pemergian Puri.

"Berakhirnya sebuah era. Legasi terus hidup," kata Priyanka Chopra menerusi Twitter.

Aktres Alia Bhatt menyifatkan beliau sebagai 'sebahagian besar daripada teras pawagam India', manakala seorang lagi bintang Bollywood, Nawazuddin Siddiqui menggelarkan Puri sebagai 'aktor terbaik' di dunia.

Perdana Menteri Narendra Modi dan pemimpin Congress Sonia Gandhi turut merakamkan takziah atas kematian Puri.

Puri sangat lantang dalam menyuarakan pandangan dan ada antara kenyataannya berkaitan hubungan India-Pakistan membangkitkan kemarahan penyokong kuat India, namun populariti beliau merentasi sempadan negara.

Aktres Pakistan Mahira Khan berkata negara kehilangan 'artis yang hebat, sesungguhnya beliau seorang daripada bintang terbaik pawagam India.'

- Bernama

Lihat Komen