malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Yang panas, kontroversi dalam dunia hiburan 2016
Diterbitkan:  Dec 31, 2016 5:23 PM
Dikemaskini: 10:50 AM
ADS

Kalendar dunia hiburan sepanjang tahun 2016 bagaikan tidak lengkap tanpa diwarnai pelbagai isu panas dan kontroversi.

Di sebalik mereka yang berjaya menempa nama dalam dunia seni, tidak kurang di kalangan artis tanah air yang mencuri perhatian dengan kisah kurang enak didengari.

Antaranya terpalit dengan kes perceraian, pembatalan perkahwinan, dakwaan gambar bogel, perbalahan sesama artis dan penyalahgunaan dadah.

Beberapa jam menjelang detik tahun baru 2017, Malaysiakini Seni menyajikan beberapa sorotan penting dalam dunia hiburan sepanjang 2016.

Fara Fauzana batal kahwin di saat akhir

Sehingga kini tiada jawapan sebenar dikemukakan oleh bekas pengacara Fara Fauzana selepas membatalkan majlis akad nikahnya 13 hari sebelum berlangsung pada September lalu.

Biarpun berkali-kali wartawan cuba merungkai jawapan sebenar, usaha itu hanya menemui kegagalan apabila Fara tetap berpegang teguh menyatakan keputusan dibuat atas alasan “terlalu peribadi.”

Pelbagai telahan buruk muncul hingga merosakkan reputasi Mohamed Hafiz Badiuzzaman, 30 - bekas calon suami Fara yang juga ahli perniagaan - apabila timbul dakwaan mengatakan pemuda itu sebenarnya sudah berkahwin.

Hafiz bagaimanapun menegaskan dirinya masih bujang dan tidak pernah merahsiakan status perkahwinannya daripada Fara.

Along Cham, Zila AF4 bercerai

Episod duka Along yang berlanjutan selama lima bulan akhirnya berakhir selepas pelawak itu melafazkan talak satu ke atas isterinya pada 29 Ogos lalu.

Pelbagai usaha Along untuk menyelamatkan mahligai dibina sejak 2010 itu tidak berhasil sesudah Zila Seeron didakwa keluar dari rumah tanpa izin.

Isu rumahtangga Along diparahkan lagi apabila Zila dilapor ditangkap sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana dipercayai berkhalwat dengan lelaki berstatus suami orang.

Ketika serbuan dilakukan pada 13 Ogos lalu, Zila dilapor menyorok di belakang almari di sebuah rumah di Bukit Jalil.

Uqasha Senrose buka hijab

Meskipun mendapat kecaman masyarakat, namun bagi aktres ino semua cabaran akan diharungi asalkan tiada niat mempermainkan Islam.

Uqasha pada Ogos lalu membuat kenyataan berani tidak mahu tampil dengan imej berhijab seperti sebelumnya.

Kerana kurang keyakinan kepada diri, Uqasha berkata menutup aurat terburu-buru tanpa melakukan persiapan agama secara menyeluruh juga membuatkannya berasa semakin terbeban.

Dakwaan gambar bogel Atikah, Idris

Jika tahun lalu industri hiburan tanahair digemparkan dengan rakaman klip video seks membabitkan tiga pelakon baru tetapi tiada sebarang visual ditemukan.

Ketiga-tiga pelakon dimaksudkan adalah Atikah, Idris Khan dan Ammar Alfian.

Bagaimanapun, bahan bukti yang beredar bukanlah video seperti yang diuar-uarkan, tetapi beberapa keping gambar mirip Atikah dan Idris Khan.

Mereka bagaimanapun menafikan terbabit dalam aksi panas itu selain menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Pablo juga mangsa gambar bogel?

Biarpun berasakan dirinya sebagai pelakon suam-suam kuku, Pablo tidak terlepas daripada menjadi mangsa jenayah siber apabila gambarnya disunting sehingga mengaibkan dirinya.

Pada gambar itu, Pablo mengakui susuk tubuh berketak itu adalah miliknya manakala suntingan dilakukan pada bahagian lain yang menampakkan alat sulit.

Walaupun terkait imej tidak senonoh, Pablo tidak bercadang membuat laporan kepada polis malah menyerahkan bulat-bulat takdirnya kepada Tuhan.

Adi Putra mengaku beristeri dua

Selain imejnya diijabkabulkan dengan wanita bernama Nur Shahida, 33 - dipercayai seorang pegawai jabatan imigresen - menjadi viral, turut beredar pada masa sama adalah dakwaan Adi Putra menjadi perampas isteri orang.

Rentetan peristiwa itu, Adi melakukan sidang media untuk menjernihkan keadaan selain mengesahkan sudah bernikah dengan Shahida pada 20 Jun lalu.

Adi dan isteri pertama Aida bernikah pada 14 April 2006, mereka pernah memfailkan cerai pada 11 Mei 2012 tetapi kemudian membatalkan keputusan berkenaan.

Antara Elly Mazlein, Azmi Hatta dan Faye Kusyairi

Tidak lagi tertahan menanggung rahsia, selepas mengumumkan kelahiran bayi sulungnya, Elly mengambil tindakan drastik mendedahkan kepada umum perpisahannya dengan Azmi.

Talak dijatuhkan di hadapan hakim di mahkamah rendah syariah pada 15 Oktober tahun lalu sewaktu usia kandungan Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina baru mencecah empat bulan.

Elly mengaitkan kewujudan pihak ketiga - Faye - sebagai pencetus pergolakan rumahtangganya dengan pengarah drama itu selain turut mengalami gangguan mistik hingga sakit sampai lembik.

Azmi pula sebaliknya menyatakan mula tawar hati terhadap Elly apabila wanita itu tidak mampu mengawal sikap cemburunya yang keterlaluan.

Faye yang pada awal menafikan dirinya bukan perosak rumatangga orang mula dikecam hebat selepas mengaku menjalin cinta dan rapat dengan lelaki itu selepas perceraiannya berlaku.

Tony Eusoff keluar ‘neraka’

Selain menganggap perbuatanya itu bodoh dan memalukan, tempoh menjalani hukuman lima bulan 10 hari dirasakan berjalan amat perlahan oleh aktor Tony Eusoff.

Yang pasti, ditahan atas kesalahan memiliki dadah pada 12 Mac lalu di Tuas, Singapura menjadi perkara yang tidak ingin diulangi selama-lamanya.

Tony dibebaskan lebih awal dari tarikh ditetapkan pada 1 Oktober lalu dari penjara Singapura selepas berupaya menjaga disiplin sebaik mungkin.

Perseteruan Amy Search, Yazit dan Afjets

Perseteruan antara empat anggota Search dan bekas pemain dram Yazid mengenai pembahagian wang menjelang konsert yang sepatutnya diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 Ogos lalu bukan lagi rahsia.

Kemelut bertambah keruh selepas Yazid yang tidak berpuas hati membuat laporan polis pada 4 Mei lalu selain mendakwa isteri Amy, Nourish mengherdiknya dalam satu perbualan telefon.

Dalam sidang media, empat anggota Search Nasir Daud (bass), Nordin Taib (gitar) dan Hamzah Mohd Taib atau Kid (gitar) menjelaskan segala salah faham selain menuntut Yazid memohon maaf.

Sehari kemudian, Yazid pula membuat sidang media selain menyatakan keengganannya memohon maaf.

Dan terbaru, pada Oktober lalu, empat anggota Search itu kini berdepan pula saman dari Afjets hampir setengah juta iaitu RM494,000 kerana penyataan fitnah dan pelanggaran kontrak.

Lebam di leher Yuna

Penyanyi Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai, mencuri tumpuan apabila gambarnya dirakam dengan kesan merah di leher ketika muncul di Konsert Rockaway di Bukit Jalil, 19 November lalu.

Bagaimanapun, Yuna menjelaskan kepada peminat bahawa lehernya sebenarnya digigit labah-labah.

Kontroversi itu bagaimanapun tidak menjejaskan pencapaiannya dalam industri hiburan sama ada di peringkat antarabangsa mahupun di tanah air sendiri.

Sebuah lagu nyanyiannya, 'On Ghost Ridge disenarai pendek untuk pencalonan Anugerah Oscar bagi kategori lagu asal terbaik.

Album 'Chapters' Yuna juga tersenarai dalam 10 Album R&B Terbaik Billboard 2016: Pilihan Pengkritik.

Yuna juga menerima Anugerah Kembara dalam Anugerah Industri Muzik (AIM2016) atas usahanya mengharumkan nama Malaysia di luar negara.

Lihat Komen