malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti kenang nasihat berselit jenaka 'ayahanda' SM Salim
Diterbitkan:  Dec 29, 2016 10:01 PM
Dikemaskini: Dec 30, 2016 3:07 AM
ADS

Pernah berduet bersama allahyarham Tan Sri SM Salim adalah satu pengalaman berharga buat penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza Tarudin.

Siti berkata pengalaman menghasilkan lagu “Pandang-Pandang Jeling-Jeling” dan “Bergending Dang Gong” tidak sesekali dapat dilupakannya.

“... beliau memang seorang yang banyak memberi nasihat walaupun terselit lawak jenaka di dalam persembahan malah di luar pentas juga beliau seorang yang sangat rajin memberi didikan yang baik untuk dicontohi,” katanya.

Menyifatkan seperti “ayahanda”, Siti juga berkata allahyarham banyak memberi nasihat dan contoh yang baik serta ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh generasi muda sepertinya.

SM Salim menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.44 petang ini pada usia 88 tahun di kediamannya di Ukay Perdana di ibu negara kerana sakit tua.

Beliau, yang nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, dilaporkan mula tenat sejak awal pagi semalam sehingga terpaksa diberi alat bantuan pernafasan.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat esok.

Menulis di Instragram, Siti menyatakan rasa sedihnya atas pemergian allahyarham serta mendoakan agar beliau tergolong di kalangan orang yang beriman.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga beliau dan saya mohon maaf kerana tidak dapat menziarah kerana ketika ini saya berada di Jakarta, Indonesia,” katanya.

Siti juga menyifatkan industri muzik Malaysia kini kehilangan tokoh seni serba boleh.

SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, memulakan karier sebagai penyanyi sekitar tahun 1950-an dan pendukung gigih lagu-lagu Melayu klasik.

Seniman veteran itu lumpuh akibat sakit saraf dan pergerakannya bergantung pada kerusi roda sejak 17 tahun lepas.

Lihat Komen