malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
PM, rakan artis ucap takziah pada keluarga SM Salim
Diterbitkan:  Dec 29, 2016 9:43 PM
Dikemaskini: 1:53 PM
ADS

Pelbagai pihak mengucapkan takziah kepada keluarga atas pemergian seniman terkenal Tan Sri SM Salim ke rahmatullah hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata SM Salim akan dikenang kerana sumbangannya menyuburkan dunia seni tanah air dan warisan dunia Melayu.

"Salam takziah kepada keluarga TS SM Salim. Allahyarham banyak sumbang jasa dalam bidang seni dan warisan Melayu. Moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah," kata Najib di Twitter.

SM Salim menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.44 petang ini pada usia 88 tahun di kediamannya di Ukay Perdana di ibu negara kerana sakit tua.

Beliau, yang nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, dilaporkan mula tenat sejak awal pagi semalam sehingga terpaksa diberi alat bantuan pernafasan.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat esok.

Berikut reaksi pelbagai lagi pihak:
 

"Saya kenal dia semenjak bertugas (sebagai juruhebah) di RTM, ketika itu saya masih mahasiswa di Universiti Malaya, dan saya buat 'part time' di RTM.

"Saya bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta keluarga reda dan rakyat Malaysia supaya mendoakan agar beliau ditempatkan dalam kalangan para pejuang yang mendapat rahmat Allah Taala.”
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
imbalan perdana menteri


"Jasa yang disumbangkan allahyarham tidak sekadar diukur daripada indahnya lagu-lagu yang dicipta, digubah dan dinyanyikannya bahkan turut dinilai daripada semangat kasih sayang, kebangsaan, perpaduan dan patriotik yang dipupuk melalui lagu-lagunya itu di kalangan rakyat pelbagai kaum negara ini.”
Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
Menteri komunikasi dan multimedia

 

"Beliau seperti ayahanda yang banyak memberi nasihat dan contoh yang baik serta ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh generasi muda seperti saya dan rakan-rakan artis yang lain."
Siti Nurhaliza Tarudin
Penyanyi


"Kita tidak akan dapat lagi pengganti seperti permata seni negara ini dan kita akan terkesan akan kehilangannya."
M Nasir
Penyanyi dan komposer

Lihat Komen