malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Sheila lega 'tak perlu mati untuk dihargai'
ADS

Industri muzik memerlukan pelapis baru yang bukan setakat menang populariti tetapi memiliki bakat dan kualiti, tegas ratu jaz negara Datuk Sheila Majid.

Katanya, tidak semua artis yang berkecimpung dalam bidang seni suara mampu melakar kejayaan pada setiap masa atau kekal dalam industri sekiranya mereka tidak memiliki daya tahan yang secukupnya.

Hanya dengan sifat begitu, katanya, seseorang artis terus mendapat tempat di hati masyarakat dan ruang di media massa.

Mengambil contoh di Indonesia, kata Sheila, tumpuan diberikan wartawan pada seseorang artis belum menjamin kisah mereka akan menjadi pilihan pengarang untuk disiarkan.

Malah, katanya, kadang-kadang jumlah kehadiran wartawan menemubual seseorang artis tdak membayangkan bahawa penghibur terbabit akan diberi tempat dalam media.

“Apabila pergi ke Indonesia wartawan di sana menyambut kita bagai nak rak, Ingatkan dapatlah masuk surat khabar.

"Esok tak keluar cerita pun. Carilah sampai berbulan-bulan, memang tak ada disiarkan," katanya selepas menerima trofi Sri Wirama pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzim (AIM) ke-22 baru-baru ini.

Pada malam itu Sheila, 51, diberi penghargaan oleh penganjur atas sumbangannya kepada muzik.

Sheila juga mengambil masa agak lama semasa menyampaikan ucapan selepas anugerah itu diserahkan kepadanya.

Sudah 'tutup buku'

Menurut penyanyi Sinaran itu kadang-kadang wartawan datang menemu bual bukan semata-mata mahu mendapatkan cerita terbaru, sebaliknya ingin melihat sejauh mana kehebatan dan keistimewaan seseorang penghibur, serta nilainya untuk dijadikan berita.

Mengenai anugerah diterimanya, Sheila berkata, dia sangat berbangga kerana ia bukan diberikan atas undian "entah sesiapa" sebaliknya dinilai juri profesional.

“Bagi diri saya ini (anugerah Sri Wirama) adalah perkara besar sebab ia penghargaan dalam muzik, bukan kerana populariti.

“Saya juga tidak perlu mati dulu sebelum dihargai,” katanya.

Di sebalik kegembiraan meraih Sri Wirama, Sheila nampaknya kecewa mengenai sambutan ulang tahun ke-30 dia bergelar penghibur.

Dia terlebih dahulu meminta maaf kepada peminat yang menanti konsertnya kerana rancangan untuk mengadakan persembahan sempena 30 tahun bergelar anak seni berkubur begitu saja.

Puncanya, Sheila sukar mendapat penaja - dan dia bukanlah artis pertama mengeluh mengenai kesukaran mendapat dana bagi mengadakan konsert di negara ini.

“Untuk konsert ke-30 tahun di Malaysia sudah 'tutup buku', terima kasih.

“Saya kini hanya lebih fokus kepada album baru yang hendak diterbitkan tahun depan.

"Saya amat sedih dengan perkara ini kerana ketiadaan penaja, sedangkan saya sudah mengadakan konsert di Los Angeles, Bandung dan Singapura, tetapi tidak di tahanair sendiri,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kini begitu ramai penggemar konsert percuma tanpa memikirkan kualiti bakal diperoleh.

Berbanding dahulu, peminat yang gemar datang ke konsert adalah kerana mereka ingin menyaksikan persembahan terbaik dari penyanyi kesayangan.

“Terpulanglah kepada peminat sama ada nak datang tengok persembahan berkualiti atau bertaraf funfair.

“Kalau nak funfair jangan merungut, sebab kualiti teruk.

"Nak dibandingkan pada era 1980-an, saya ternganga tengok kumpulan Search keluar dari api, bayangkan persembahan seperti itu sukar disaksikan lagi sekarang,” katanya.

Lihat Komen