malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak Jokowi main wayang
Diterbitkan:  Dec 19, 2016 6:53 PM
Dikemaskini: 10:59 AM
ADS

Filem yang bakal ditayangkan akhir bulan ini, Cek Toko Sebelah, ternyata bukan sekadar produksi biasa-biasa.

Filem komedi arahan Ernest Prakasa itu bakal menampilkan anak bongsu Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Bercakap kepada media semalam, Ernest berkata mereka memilih Kaesang Pangarep untuk 'memeriahkan' filem berkenaan dan ia dijangka dapat menarik perhatian ramai ke pawagam.

Namun kata Ernest, Kaesang bukanlah membawa watak utama atau penting, sebaliknya sekadar cameo saja.

"Kaesang sebenarnya cuma cameo. Cuma namanya memang tetap ada pada poster filem ini," katanya di Jakarta Selatan seperti dilaporkan suara.com.

Selain mengarah, Ernest juga membintangi filem Cek Toko Sebelah itu bersama Dion Wiyoko, Gisella Anastasia dan Adinia Wirasta.

Ia menceritakan perjalanan hidup Erwin (Ernest) yang memiliki kekasih jelita bernama Natalie (Gisella).

Pada masa sama ayah Erwin, Koh Afuk (lakonan aktor Malaysia, Chew Kin Wah) menghidapi masalah kesihatan dan bercadang mewariskan perniagaannya kepada pemuda terbabit.

Tindakan Koh tidak disenangi abang Erwin, Yohan (Dion Wiyoko) kerana berasa dia diketepikan. Sebagai anak sulung Yohan berpendapat dia sepatutnya diberi keutamaan.

Yohan sendiri beranggapan isterinya, Ayu (Adinia Wirasti) orang paling berhak menguruskan perniagaan tersebut.

Namun Koh Afuk tetap memilih Erwin berbanding Yohan yang selalu memberontak.

Kata Ernest dia memberikan watak yang dirasakannya paling sesuai untuk dibawa Kaesang.

"Watak itu adalah ironis jika dibawa Kaesang," katanya.

Bagaimanapun selain daripada itu Ernest enggan memberikan butiran lanjut.

"Anda perlu menonton Cek Toko Sebelah untuk memahami apa maksud saya," katanya.

Kaesang, 21, adalah anak ketiga dan bongsu Joko Widodo - atau Jokowi - dan pernah melanjutkan pengajiannya di Singapura.

Dua lagi anak presiden ketujuh Indonesia itu ialah Gibran Rakabuming Raka, 29, dan Kahiyang Ayu, 25.

Joko Widodo dikenali ramai kerana sikap sederhana dan bersahajanya, selain sering mengetepikan protokol untuk bersama rakyat.

Beliau juga sering menggunakan tiket penerbangan kelas ekonomi untuk pergi ke mana-mana tempat jika ia bukan melibatkan urusan rasmi negara.

Cek Toko Sebelah akan mula ditayangkan di pawagam Indonesia pada 28 Disember ini.

Lihat Komen