malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Aura Ayda Jebat taruhan konsert ambang tahun baru
ADS

Pemilihan penyanyi dan pelakon Ayda Jebat sebagai seorang daripada selebriti yang memeriahkan konsert ambang tahun baru di sebuah pantai peranginan di Melaka diyakini mampu menjadi tarikan utama.

Malah penganjur DSK Events Management Datuk Sharifah Kadnariah Syed Ahmad turut tidak menafikan populariti semasa Ayda adalah antara mengapa dia dipilih untuk memeriahkan konsert berkenaan.

"Sememangnya Ayda diketahui umum memiliki kelompok peminat yang besar.

“Atas sebab itulah saya benar-benar percaya dengan aura dan populariti yang dimilikinya itu boleh menarik orang ramai hadir ke acara berkenaan,” katanya.

Sharifah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Tanjung Bidara Beach Resort Fiesta 2017 di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, selain itu, Ayda cukup terkenal dengan sikapnya yang merendah diri dan sering terbuka melayan kerenah peminat tanpa perlu dipaksa.

Bagaimanapun, penyanyi Pencuri Hati itu bukan satu-satunya artis yang akan menjayakan sambutan berkenaan.

Artis lain yang akan turut serta adalah Tia Jimbara, Sheeda, Roslan Shah dan beberapa nama yang telah disenaraikan tetapi masih belum memberikan persetujuan.

Konsert berkenaan direncanakan berlangsung di Tanjung Bidara Beach Resort bakal menjadi detik kemuncak bagi acara yang bermula pada 30 Disember hingga 1 Januari depan.

Bagi acara kemuncak iaitu konsert ambang tahun baru pula akan diadakan pada 31 Disember ini.

Menurut Sharifah, Melaka menjadi pilihan syarikat terbabit kerana ia berpotensi menarik pelancong luar lebih ramai.

“Melaka adalah bandar raya bersejarah dan penuh dengan nilai komersial, justeru dengan adanya acara seperti ini saya berharap tempat itu menjadi lebih meriah.

“Cuti sekolah yang sedang berlangsung ketika ini sekaligus dapat dimanfaatkan oleh ahli keluarga untuk bersantai dan mengisi masa lapang.

“Kami turut menyediakan 120 gerai kepada orang awam yang ingin berniaga selain 15 gerai khas bagi golongan artis dan peluang itu masih terbuka buat sesiapa yang ingin membabitkan diri,” katanya.

Lihat Komen