malaysiakini logo
ADS
story-image
story-image
ADS

Menjadikan Miri, Sarawak sebagai lokasi terakhir konsert jelajah Asia pada tahun ini, penyanyi Indonesia Afgan yakin tiada sebarang masalah walaupun penganjur mengambil Fazura sebagai artis jemputan.

Sebelum ini Fazura menjadi sasaran kecaman pengguna media sosial apabila dikatakan gagal menyanyi dengan baik sewaktu membuat persembahan di Kejohanan Perlumbaan Grand Prix Malaysia di Litar Sepang Oktober lalu.

Ternyata, peristiwa dialami Fazura sedikit pun tidak meresahkan penyanyi Jodoh Pasti Bertemu itu.

“Ini cadangan penganjur dan mereka terlebih dahulu ada meminta persetujuan saya.

“Bagaimanapun saya tiada masalah untuk konsert nanti walaupun tidak pernah berduet mahupun bersemuka Fazura sebelum ini,” katanya.

ADS

Afgan ditemui pada majlis Anugerah Melodi 2016 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada malam itu Afgan diiktiraf sebagai Personaliti Luar Negara paling popular.

Afgan atau nama asalnya Afgansyah Reza, 27, dijangka mengadakan Konsert Sides menjelang sambutan perayaan Krismas di Stadium Bandaraya Miri, Sarawak pada 24 Disember nanti.

Ia adalah konsert jelajah yang meliputi negara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura di samping mempromosi album keempat yang juga menggunakan judul sama konsert - Sides - selepas tiga tahun menyepi.

ADS

Nyanyi lagu ringan

Ekoran kisah Fazura yang didakwa “syok sendiri”, penyanyi 'Sayangi Dirimu' itu tampil membuat pengakuan menerusi akaun Instagramnya bahawa nyanyiannya bukanlah seperti Beyonce atau Adele untuk dibuat perbandingan.

Biarpun kisah Fazura banyak memenuhi ruang media tempatan, Afgan sambil tersipu- sipu malu berkata dia langsung tidak tahu- menahu kejadian sebenar.

“Saya tidak tahu isu berkenaan tetapi pernah melihat capaian di Internet mengenai persembahan pada waktu lain dilakukan Fazura.

“Sudah pasti lagu akan diberikan kepadanya nanti yang ringan dan mudah dinyanyikan bersama penonton.

“Sebagai penyanyi utama akan menyanyi selama dua jam, Fazura pula mungkin menyampaikan sebuah lagu saja,” katanya.

Hasil kutipan tiket Afgan pada konsert terdahulu belum pernah mengecewakan, dan ia seringkali laris dijual.

Justeru, penyanyi yang popular menerusi lagu Terima Kasih Cinta itu mengambil positif kejadian sebelum ini malah tanpa ragu mahu memberikan peluang kepada Fazura.

“Pasti semua orang pernah melakukan kesalahan, saya yakin Fazura juga ingin buktikan kepada peminat yang dia boleh menyanyi.

“Pasti dia ingin berbuat demikian,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen