malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pak Nil kini tokoh bahasa Melayu
ADS

Datuk Aznil Nawawi terus melakar kejayaan. Selepas dikenali sebagai pengacara popular beliau kini dianugerahi penghargaan sebagai tokoh memartabatkan bahasa kebangsaan.

Atas pengiktirafan itu Aznil - atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil - menerima Anugerah Khas Ikon Bahasa 2016 daripada Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) di di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur hari ini.

Menerusi akaun Instagram, Aznil meluahkan perasaan syukurnya selain berkongsi detik gembira itu buat tatapan peminat.

“Terima kasih Persatuan Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka atas penganugerahan #Paknil sebagai Tokoh Pejuang/Ikon Bahasa,” tulisnya.

Aznil berkata, dia sentiasa mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang sebetulnya walau di mana jua dia berada.

“Pak Nil tidak sesekali akan merojakkan bahasa Melayu.

“Apabila menggunakan bahasa Malaysia pasti Pak Nil berhati-hati menuturkan perkataan yang ingin disampaikan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Begitu sifat Aznil. Baginya bahasa kebangsaan tidak patut diabaikan penggunaannya, sama seperti adat Melayu yang sesekali tidak boleh dipinggirkan.

Menerusi wawancara bersama Malaysiakini sebelum ini, Aznil berkata dia pernah - selama dua tahun berturut-turut - diberi tanggungjawab menjadi pengacara di saluran E-News di Hollywood.

Dia sememangnya bertuah menjadi satu-satunya pengacara tempatan yang berjaya merebut peluang emas di negara asing.

Katanya, walau ke ceruk mana sekalipun berada, sebolehnya dia berusaha untuk memperkenalkan budaya Melayu dan ia harus terus diperkukuhkan.

“Apabila mereka memberikan saya skrip dengan gaya bahasa Amerika, saya tidak buat ikut cara mereka.

“Sebaliknya saya memastikan ia dilaksanakan dengan melambangkan adab kemelayuan,” katanya.

 

 

Menceritakan lagi pengalaman di Hollywood, Aznil berkata setiap kali bersalaman dengan selebriti pasti dia membalasnya dengan meletakkan tangan ke dada sebagai tanda hormat.

“Apabila salam orang, tangan saya akan kembali ke dada, tetapi cara itu menimbulkan persoalan dan mereka (yang disalam) mahu tahu mengapa saya berbuat demikian.

“Kim Kardashian juga pernah bertanyakan soalan sama, hinggakan katanya tangan dia tidaklah kotor.

“Bagi saya, sebenarnya itu hanya salah satu cara menunjukkan salam itu akan selamanya diingati di hati,” katanya.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar.

Majlis sama turut memberi penghargaan kepada empat tokoh lain untuk menerima Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa PLM.

Mereka ialah bekas ketua pengarah DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan dan Datuk A Aziz Deraman, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron (ahli akademik dan penyelidik) serta Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) di Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Adilah Shek Omar.

Lihat Komen