malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Belajar curiga, madah berhelah Doctor Strange
ADS

Filem terbaru keluaran Marvel, Doctor Strange sememangnya tidak sunyi daripada pelbagai dialog menarik terutama untuk penonton yang peka.

Antaranya watak adi wira Doctor Strange itu (dilakonkan oleh Benedict Cumberbatch) memilih dialog yang agak luar jangka - selain melucukan - sebagai dialog kegemarannya dalam produksi tersebut.

Ia berkaitan dialog pendek diucapkan oleh guru magiknya - The Ancient One (lakonan Tilda Swinton): "Ia bukan tentang kamu."

The Ancient One menyifatkan keangkuhan Doctor Strange sebagai penghalang untuknya mempelajari sesuatu paling ringkas dan utama dalam semua perkara dan ia bukanlah tentang dirinya.

Pengalaman itu pelajaran penting yang mengesankan buat Doctor Strange, dan sesuatu yang penting juga untuk kita semua fahami.

Misalnya, kita tidaklah perlu marah-marah atau ambil hati sangat dengan perdana menteri dan gerombolannya - yang sebahagiannya juga merupakan ahli parlimen - apabila mereka berbondong-bondong melawat China ketika Dewan Rakyat masih bersidang.

Biarlah mereka mahu bergambar beramai-ramai seperti pelajar sekolah rendah yang menyertai lawatan sambil belajar.

Ia bukan tentang kita, rakyat Malaysia. Tentu juga bukan tentang kita, rakyat di kawasan parlimen yang mereka wakili.

Saya misalnya tidak perlu mengharapkan Datuk Seri Mustapa Mohamed - ahli parlimen kawasan saya, Jeli - bangun membahaskan belanjawan di Dewan Rakyat, tentang harga getah yang lebih murah daripada harga gula mahupun minyak masak.

Hakikat adalah sebaliknya

Jauh lagi untuk mempersoalkan tentang 1MDB yang tentunya sukar difahami oleh rakyat dari kawasan pedalaman seperti Jeli ini.

Ahli-ahli PAS dan penyokong RUU355 bawaan anggota parlimen Marang juga tidak perlu marah-marah. Tidak dibahas kali ini - atau bila-bila pun - bukan kerana kita. Bukan kerana PAS, bukan juga kerana Umno. Ia adalah persoalan keutamaan.

Seperti mana tidak ada sesiapa pun berhak marah-marah atau terasa hati dengan ahli parlimen Marang yang tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat berbahas tentang belanjawan.

Beliau ada majlis tertentu yang tidak boleh ditinggalkan. Ia bukan tentang kita atau rakyat yang beliau wakili. Ia tentang keutamaan yang beliau tetapkan.

Siapa kita untuk mempersoalkannya, bukan? Beliau adalah pembantu kepada Ketua Ulama Sedunia, Dr Yusuf Qaradawi yang pernah menulis kitab Fiqh Keutamaan.

Berbalik kepada filem Doctor Strange tadi. Ironinya, walaupun dikatakan The Ancient One bahawa apa yang berlaku pada mereka bukan tentang Doctor Strange, tapi hakikat adalah sebaliknya.

Segalanya dalam produksi ini adalah tentang Doctor Strange. Malangnya ia tidak berapa bagus. Jalan ceritanya agak klise - seorang egois kemalangan dan hilang satu-satunya harta paling bernilai buatnya.

Dalam kes Doctor Strange, kepakarannya dan kemampuannya sebagai pakar bedah diragut oleh kecacatan kedua-dua belah tangannya.

Pencariannya untuk mengubat diri membawa dia kepada pengalaman mistik yang menjadikannya seorang adi wira. Dan kemudiannya disusuli aksi-aksi perlawanan yang melampau - boleh juga sebut melangkaui - imaginasi.

Saya tidak kagum sangat dengan kerja-kerja grafik komputer dalam produksi ini. Jika dibandingkan dengan kesan grafik dalam filem Inception misalnya, kita akan dapati ia jauh lebih kemas dan sempurna berbanding Doctor Strange.

Ya, saya maksudkan grafik bangunan-bangunan yang tiba-tiba terbalik kuang itu.

Jangan mudah percaya

Sebagai peminat Marvel, saya kecewa. Malah bagi saya filem Ant-Man sebagai satu produksi original telah dibuat dengan lebih baik.

Ya, saya bias kerana Ant-Man ada Evangeline Lily. Tapi Ant-Man juga ada Michael Pena yang membawakan watak sampingan, Luis, jauh lebih baik berbanding Chiwetel Ejiofor yang melakonkan Mordo.

Jauh lagi jika mahu dibandingkan dengan Guardians of the Galaxy yang segar jalan ceritanya dari awal dan akhir dengan kombinasi pelakon yang mantap - malah muzik latar yang mengujakan.

Oh, saya sebenarnya mahu mengatakan produksi ini sememangnya tentang Doctor Strange semata-mata dan bukan yang lain-lain, walaupun The Ancient One tidak bersetuju dengan saya.

Buktinya, tiba-tiba Doctor Strange yang baru belajar meneroka ke alam mistik jadi lebih hebat daripada orang lain, dan pada babak-babak terakhir produksi ini ahli yang lebih senior dalam Kamar-Taj - seperti Mordo dan Wong - hampir tak punya peranan apa-apa. Mengapa?

Sebab itu kita jangan mudah sangat percaya apa yang keluar dari mulut seseorang, sebaliknya lihat apa yang dibuat dan apa yang sebenarnya berlaku.

Apabila The Ancient One mengatakan ia bukan tentang Doctor Strange, ketahuilah ia hampir pasti tentang Doctor Strange.

Apabila perdana menteri dan gerombolannya diberitahu berkunjung ke China demi pelaburan yang menguntungkan negara, waspadalah kita terlebih dahulu sebelum percaya siapa yang untung, siapa yang rugi.

Apabila ada menteri menghulur salam, kita jangan cepat percaya dia mahu menjawab soalan atau jauh lagi bermesra dengan kita. Kalau perlu, pastikan kita telah menutup pintu keluar terlebih dulu kalau mahu bertanya sesuatu atau kita hanya akan bersalam saja dengan beliau.

Apabila mahu mengadakan sidang Dewan Rakyat, pastikan perbahasan penting tidak dibuat pada hari Jumaat kerana mungkin ada di kalangan anggota parlimen adalah ulama. Kita pula kebanyakannya tidak pernah mengaji kitab keutamaan majlis tahnik.

Dan apabila kalian telah habis membaca tulisan ini, tidak perlulah tertanya-tanya saya sebenarnya sedang mengulas tentang apa. Ia tentunya bukan tentang kamu!

Lihat Komen