malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Upin & Ipin: Pengarah kecewa, Awie gagal hafal lirik
ADS

Pengarah Urusan Les’ Copaque Burhanuddin Md Radzi berkata dia terkilan apabila salah seorang pelakon filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! - Awie gagal memberikan khidmat yang diharapkan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Burhanuddin meluahkan, sikap kurang berdisiplin ditunjukkan penyanyi kumpulan rock itu semasa melakonkan wataknya paling menyerlah apabila tiba babak yang memerlukan aktor itu menyanyikan lagu tema filem berkenaan.

“Pada adegan menjalani konsert dia (Awie) tidak hafal lirik, kebanyakan masa dalam penggambaran penyanyi itu tidak membuka mulutnya.

“Kami terpaksa menggantikannya dengan orang lain, mengapa harus jadi begitu?” soalnya.

Bagaimanapun, tidak semuanya mengenai Awie kurang disenangi, masih ada yang ‘menyejukkan’ hati.

Burhanuddin sebenarnya kagum dengan lakonan Awie, katanya kehebatan aktor itu sebagai pelakon sememangnya tidak boleh dinafikan.

Melalui wawancara sebelum ini, Burhanuddin memaklumkan media, Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! dibuat berdasarkan karakter Awie. Pemilihan itu pula dilakukan kerana sifatnya yang dilihat mudah mesra dengan kanak-kanak.

Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! adalah filem animasi Malaysia pertama menggabungkan teknik animasi 3D dan lakonan hidup dihasilkan melalui kerjasama Les’ Copaque Production dengan KRU Studios.

Filem berkenaan menggabungkan khidmat dua pengarah iaitu Erma Fatima (untuk lakon hidup) dan Pengarah Kandungan Kreatif Les’ Copaque Ainon Ariff (untuk animasi).

Selain Awie, pelakon yang turut membintangi Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! adalah Remy Ishak, Puteri Balqis, Sara Ali dan Gambit. Ia akan menjengah pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei pada 24 November ini.

Les’ Copaque pernah berdepan dengan pelbagai kesulitan membabitkan isu seperti teknikal, skrip dan pengarahan sebelum Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! berjaya disiapkan sepenuhnya.

Akibatnya, naskhah yang pertama terpaksa diolah seratus peratus.

Walaupun berdepan rintangan, bagi Burhanuddin, semuanya itu tidak mustahil untuk diatasi malah ada sebahagiannya yang dianggap memuaskan.

“Sepatutnya produksi mempelajari dari kesilapan pertama, namun masih terdapat beberapa adegan penting dikehendaki tiada misalnya.

“Penghayatan pengarah (Erma) juga mungkin berbeza dari apa kita kehendaki,” katanya.

“Tetapi saya masih berasa bangga dan berpuas hati sebab boleh bekerjasama dengan studio lain walaupun terdapat banyak cabaran,” katanya.

Malaysiakini cuba mendapatkan reaksi daripada Awie berhubung perkara di atas tetapi gagal.

 

Lihat Komen