malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelukis jayakan pameran untuk wanita HIV
Diterbitkan:  Nov 1, 2016 5:16 PM
Dikemaskini: 9:35 AM
ADS

ARTAID16, siri kedua pameran anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF) kembali mempamerkan karya seramai 46 pelukis kontemporari Malaysia bagi memberi sokongan kepada wanita yang menghidap HIV.

Menurut Pengerusinya, Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman, kejayaan pameran itu tahun lalu berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM230,000 untuk membantu program rawatan, penjagaan dan sokongan terhadap wanita yang menderita penyakit tersebut.

Bertemakan 'Cinta Untuk Dijual', koleksi kali ini secara kritis meneroka hal berkaitan cinta dalam makna 'sejagat, kepelbagaian dan kerumitannya'- sambil membawa perhatian isu perbezaan jantina dan ketidaksamaan yang memberi kesan negatif terhadap wanita pembawa HIV.

Adeeba berkata, meskipun tiga dekad wabak AIDS melanda dan dengan kemajuan  dalam bidang Sains, jangkitan HIV terus meningkat pada tahun lalu.

Malah, katanya, wanita kini berhadapan risiko jangkitan dua kali ganda daripada lelaki berbanding 10 tahun lalu.

Sehingga kini, lebih 12,000 kes jangkitan HIV melibatkan wanita berlaku di Malaysia dan 78 peratus dijangkiti melalui hubungan seksual pada tahun 2015.

"Lebih membimbangkan, bagi ramai wanita, risiko terjadi apabila mereka berkahwin," kata Dr Adeeba dalam satu kenyataan media oleh MAF.

Sementara itu, Ahmad Zakii Anwar, pelukis terkenal Malaysia dengan gayanya tersendiri kembali menerajui ARTAID16 sebagai penasihat dalam pameran berkenaan.

"Saya amat berterima kasih kepada semua rakan-rakan pelukis yang menyumbang kepada ARTAID16, terutama bakat muda yang baru muncul kerana memilih melibatkan diri dengan punca sosial yang penting pada awal kerjaya mereka," jelasnya.

Mengetuai kerja kurator untuk ARTAID16 ialah Noor Mahnun Mohamed, seorang pelukis dan penulis seni.

"Saya sangat gembira menyaksikan penyertaan 11 artis wanita dalam ARTAID16 dan kekuatan keseluruhan hasil kerja mereka," katanya.

Sebanyak 63 karya seni bernilai lebih setengah juta ringgit akan dijual dengan sebahagian hasil jualan akan disumbangkan kepada program rawatan, penjagaan dan sokongan MAF.

Pameran ARTAID16 berlangsung di White Box, Publika, Solaris Dutamas dan terbuka kepada orang ramai secara percuma dari pukul 11 pagi hingga 9 malam setiap hari sehingga 9 November 2016.

Ia akan dilancarkan secara rasmi oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam satu majlis khas pada malam 2 November ini.

Lawati laman web ARTAID16 untuk melihat senarai lengkap artis yang mengambil bahagian dan karya seni mereka.

Lihat Komen