malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bebas dari jeriji besi, Ameng tak lagi kejar duniawi
ADS

Bebas daripada belenggu jeriji besi, vokalis kumpulan Spring Ameng seolah-olah baru 'dilahirkan semula'.

Lima tahun menjalani hukuman di penjara bukan tempoh masa yang singkat bagi dirinya. Insaf dengan hakikat itu, Ameng tidak mahu lagi berpaling mengenang kesilapan lampau, sebaliknya muncul dengan azam dan semangat baru.

Sejak melangkah keluar dari tembok penjara, Ameng kini sedar bahawa kehidupan hanya sementara dan tiada yang kekal abadi.

“Saya menganggap dunia perkara remeh. Tetapi berlainan pada waktu dahulu kerana masa itu saya bersungguh-sungguh untuk mengejar hal duniawi.

“Kini saya tidak hairan lagi dengan kehidupan dunia, biarlah jalani kehidupan secara bersederhana kerana dunia ini sementara,” katanya.

Ameng atau nama asalnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, ditemui selepas program realiti Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam kelmarin.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu 'Sampai Hati' itu dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun dan 10 sebatan pada 2011 atas kesalahan dadah.

Bagaimanapun dia dibebaskan lebih awal daripada penjara Kajang pada 14 Jun lalu selepas berkelakuan baik.

Kesal lagu kerohanian ditolak

Mengulas lanjut tentang perjalanan seninya selepas dibebaskan, Ameng berkata dia pernah cuba menukar selera untuk menyampaikan lagu bercorak kerohanian.

Namun hasrat itu ditangguhkan kerana lagu-lagu sebegitu masih kurang mendapat sambutan dalam kalangan pendengar.

Katanya, dia pernah menghantar dua lagu berkonsep ketuhanan berjudul 'Jalan Pulang' dan 'Tirai Keinsafan', tetapi ditolak oleh stesen radio.

“Saya dah hasilkan dan rakam, tinggal untuk edar di stesen radio tetapi mereka pula tidak mahu terima. Sebaliknya mereka mahu saya mencipta lagu cinta.

“Saya berasa seolah-olah dipersalahkan pula kerana membuat lagu seperti itu. Tetapi lama-kelamaan saya tidak kisah kerana menganggap ia bukan rezeki," katanya dengan nada kesal.

Menurut Ameng, bukan dirinya saja dihimpit situasi seperti itu, malah ramai rakan seperjuangan turut mengalami nasib sama seperti Alif XPDC, Ijam Medicine dan Iwan.

Bagaimanapun, Ameng berkata dia masih berpeluang untuk menyampaikan lagu berkenaan dalam acara-acara tertentu seperti program motivasi anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Lihat Komen