malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Sakit sampai lembik, Elly Mazlein cari rawatan alternatif
ADS

Meskipun menganggap penyakit sebagai penebus dosa, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein tidak mahu mengalah dengan sakit berpanjangan dialami, sebaliknya berusaha mendapatkan rawatan alternatif.

Berkongsi kisah itu, Elly menggambarkan kebimbangannya seolah-olah tidak dapat dibendung apabila penyakit batuk dialami sejak menyertai program realiti Gegar Vaganza Musim Ketiga (GV3) masih tak kunjung hilang.

Malah kata Elly, bukan itu saja, dia juga terpaksa menanggung dua ‘beban’ pada masa sama apabila turut mengalami gangguan aneh ketika berada di kediamannya.

“Saya risau kerana batuk tidak berhenti sampai hendak pecah anak tekak. Berat badan saya pula susut dengan mendadak, wajah pucat selain tidak lalu makan.

“Di rumah, saya mengalami kejadian menakutkan hingga badan menjadi lembik selama beberapa saat.

“Ia amat menakutkan kerana tidak pernah mengalami situasi begitu, hingga ramai rakan dan peminat menasihati supaya saya mencuba rawatan perubatan Islam agar cepat sembuh,” katanya.

Elly atau nama asalnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, ditemui selepas program Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA di Shah Alam, malam tadi.

Katanya, disebabkan tahap kesihatan yang langsung tidak menunjukkan simptom untuk sembuh walaupun sudah menjalani pemeriksaan doktor berkali-kali, ia turut menjejaskan mutu persembahannya.

Elly yang terkenal dengan julukan Kak Lina Pom Pom itu menduduki markah kedua terbawah selepas menyampaikan Perawan atau Janda - lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Indonesia Cita Citata.

Judul lagu itu pula mungkin hanya kebetulan sama dengan kisah peribadi dialami Elly.

Elly - seorang janda anak satu - pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Mohd Hatta, 41, pada 9 November 2014 tetapi bercerai pada 15 Oktober lalu ketika usia kandungan mencecah empat bulan.

Keretakan rumahtangga Elly pula didakwa berpunca daripada orang ketiga yang dituduh menjadi perampas.

Persembahan pada malam tadi turut menyaksikan penyingkiran Rem sebagai peserta untuk minggu ketiga program itu berlangsung.

Situasi nyaris terkeluar pada persembahan malam tadi menyebabkan Elly begitu menghargai setiap peluang keemasan diberikan.

Dan demi perjuangan yang masih belum berakhir sebagai peserta GV3, Elly bersungguh-sungguh tidak mahu mengulangi kesilapan sama.

“Produksi masih mahu mengekalkan saya walaupun sudah melakukan kesalahan besar malam tadi.

“Ini rezeki anak apabila diberi peluang sekali lagi tetapi saya tidak mahu buat silap kerana sudah mendapat lesen merah, kalau buat sudah pasti tiada maaf lagi,” katanya.

Lihat Komen