malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Berhempas pulas dan menggunakan wang sendiri untuk mengadakan konsert solo sulung adalah penegasan betapa bersungguhnya Adibah Noor menempuh apa saja cabaran sebagai penyanyi.

Namun kepayahan itu digagahkannya juga demi mendapatkan kepuasan, selain beria-ia mahu menguji nilai dirinya sebagai penyanyi di mata masyarakat.

Namun, Adibah tidak tahu di mana silapnya, cuma yang pasti konsert Adibah Noor Into The 3rd Decade yang berlangsung di KLPac baru-baru ini juga menjadi titik noktah untuk pertunjukan seumpamanya.

Dalam erti kata lain, Adibah meluahkan rasa dia seolah-olah serik untuk mengadakan konsert lagi.

“Konsert ini adalah suara hati buat peminat yang selama ini tidak berputus asa menyokong perjalanan karier saya sebagai penyanyi.

“Ini (konsert) adalah pertama kali tetapi ia akan menjadi yang terakhir kerana kepayahan mencari wang bagi merealisasikannya.

“Saya tidak pandai meminta-minta duit daripada orang lain, maka sebab itulah konsert ini menjadi yang terakhir,” katanya kepada Malaysiakini.

Adibah yang juga dikenali sebagai pelakon dan pengacara itu ditemui selepas mengadakan persembahan itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Adibah, 46, menyampaikan lagu yang dipilih dari album pertama hingga ketiga sejak dirinya bergelar penyanyi di konsert berskala kecil itu.

Ada beberapa artis lain turut memeriahkan konsert itu seperti Atilia, Misha Omar, Amar Jahari dan Sam Innuendo.

Kata Adibah dia mungkin ada pilihan untuk menjayakan konsert pada masa depan jika berdepan dengan kekangan kewangan, iaitu meminjam.

Bagaimanapun katanya amalan itu tidak disenangi kerana ia lebih menjurus kepada belenggu hutang. Justeru Adibah lebih rela tidak meminjam.

Selain wang, perasaan kecewa Adibah terhadap diri sendiri cukup menebal.

Kekesalan Adibah itu kerana sambutan konsert yang diterimanya, walaupun diakui ia tidak menghalang dia daripada terus mendendangkan lagu apabila perlu.

“Saya berjaya melakukannya, tetapi kalau tidak dapat sambutan buat apa hendak buat lagi?

“Saya kecewa dengan diri saya kerana tidak dapat menarik penonton untuk memenuhi dewan sekecil ini, maka perlu menilai semula kedudukan sebagai penyanyi dalam industri.

“Untuk laksanakan konsert lagi tidaklah, bagaimanapun, saya masih akan terus menyanyi,” katanya.

Lihat Komen