malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kini Diana tak lagi harap pada wajah semata-mata
ADS

Jika ada pengarah yang berjaya memberi 'wajah' baru kepada pelakon Diana Danielle orang itu mungkin pengarah U-Wei Saari yang membentuknya menjadi aktres ‘lain’ dalam Hanyut.

Selama ini wajah Diana dikatakan menjadi sandaran untuknya mendapat tempat dalam sesebuah filem, namun di tangan U-Wei dia mengalami perubahan.

Kecantikan bukan lagi faktor terpenting untuk dia mendapat keyakinan pengarah bagi membawa watak utama dalam filem.

“Selepas Hanyut, tawaran filem datang lebih banyak kerana pengarah dan penerbit mulai memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang watak utama.

“Kalau tidak, dulu orang anggap saya tidak boleh berlakon, malah hanya diberi watak kecil atau tempelan.

"Ada kalanya saya muncul tanpa dialog, seolah-olah mengharap wajah saja,” katanya yang ditemui pada sidang media filem berkenaan yang diadakan baru-baru ini.

Hanyut filem berlatarbelakang abad ke-19 dan diadaptasi dari novel Joseph Conrad berjudul Almayer’s Folly. Ia mengetengahkan beberapa konflik dalam masyarakat antaranya merangkumi hal ekonomi, keagamaan dan budaya.

Filem yang dijadual menjengah pawagam pada 24 November ini menelan belanja sehingga RM18 juta untuk kos produksi. 

Selain Diana, Adi Putra, Sofea Jane, Khalid Salleh, Bront Palarae, Sabri Yunus dan Normah Damanhuri adalah antara pelakon yang membarisi Hanyut.

Walaupun hanya mendapat suntikan dana RM2 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan selebihnya dikumpulkan U-Wei sendiri, ia tidak menghalang Hanyut menyertai beberapa festival filem antarabangsa.

Hanyut pernah ditayangkan di Festival Filem Asia Tenggara di Singapura, Festival Filem Asia di Canberra, Festival Filem Asia Jogja-Netpac ke-8 di Jogjakarta dan Festival Five Flavours ke-7 di Warsaw Poland.

Filem itu juga mendapat pencalonan kategori lakon layar terbaik di Anugerah Skrin Asia Pasifik di Brisbane Australia.

Sebelum ditayangkan di Malaysia Hanyut terlebih dahulu ditayangkan di Indonesia - pada 2014 - walaupun dengan tajuk berbeza iaitu Gunung Emas Almayer.

Meskipun namanya diletakkan sebaris dengan pelakon berkaliber lain, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 25, tidak berasakan ia perkara yang perlu dibanggakan.

Katanya, dia adalah dirinya yang asal dan pada masa sama bersikap realistik.

Diana juga beranggapan bekerja di bawah pembikin filem yang pernah bergelar pengarah terbaik Festival Filem Malaysia menerusi Isteri, Perempuan dan … itu bukan tiket untuknya meraih sebarang anugerah.

“Bekerja dengan U-Wei sendiri saya anggap seperti sudah memenangi suatu anugerah," katanya.

Sesuai dengan sikap realistik Diana enggan memasang harapan terlalu tinggi.

“Jika terlalu mengharapkan anugerah, saya mungkin berakhir dengan kekecewaan,” katanya.

Lihat Komen