malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
De Niro: Trump babi, anjing, bodoh
Diterbitkan:  Oct 9, 2016 6:30 PM
Dikemaskini: 10:50 AM
ADS

Bintang dan penerbit filem terkenal Amerika Syarikat Robert De Niro mencuri tumpuan apabila melepaskan kemarahan kepada calon presiden republik itu, Donald Trump.

Dalam satu rakaman video, pelakon popular berusia 73 tahun itu meluahkan kemarahannya dengan kata-kata kesat, malah mahu menumbuk muka calon Republikan itu.

De Niro menggelar Trump sebagai "seekor anjing" 'seekor babi' "penipu" "bullsh**" dan "bodoh" kerana "tidak tahu apa yang diperkatakannya"

"Maksud saya dia begitu terang-terangan bodoh. Dia seorang 'punk', seekor anjing, dia adalah seekor babi," katanya yang jelas kelihatan marah dalam video berkenaan.

"Dia cerita macam mana nak tumbuk muka orang?"

"Baik, saya nak tumbuk muka dia," kata De Niro dalam rakaman video tersebut.

Menurut De Niro, dia bimbang dengan masa depan Amerika Syarikat sekiranya Trump terpilih sebagai presiden. 

"Ini adalah orang yang kita mahu sebagai presiden? Saya tak fikir begitu.

"Apa yang saya bimbang adalah hala tuju negara ini dan apa yang saya sangat- sangat bimbang adalah bahawa ia mungkin menuju arah yang salah dengan seseorang seperti Donald Trump.

"Jika anda mengambil berat tentang masa depan anda, undi untuk itu," katanya.

Wawancara itu adalah sebahagian daripada kempen #VoteYourFuture, di mana selebriti bersuara untuk memberi motivasi kepada orang ramai agar mendaftar dan keluar mengundi dalam pemilihan presiden.

Selebriti lain yang dirakam dalam iklan #VoteYourFuture itu termasuk Edward Norton, Samuel L. Jackson, Julia Roberts and Emma Stone.

Tidak menghairankan mengapa De Niro begitu marah kerana Donald Trump. Sebelum ini Trump seringkali mencetuskan kontroversi dengan kenyataan bersifat perkauman, seksis dan anti muslim.

Trump pernah berjanji mahu mengharamkan orang Islam daripada memasuki negara itu, membina tembok di sempadan Mexico dan pelbagai kenyataan kontroversi lain.

Terbaru, Trump enggan menarik diri daripada pemilihan presiden walaupun didesak pemimpin partinya sendiri susulan kenyataan lucah mengenai wanita dalam video yang dirakam pada tahun 2005.

Dalam rakaman itu Trump bercakap mengenai perbuatan meraba wanita dan cuba menggoda isteri orang, beberapa bulan selepas mengahwini isteri ketiganya, Melania.

 

Lihat Komen