malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Air mata Awie menitis di majlis pernikahan
Diterbitkan:  Oct 7, 2016 4:56 PM
Dikemaskini: 9:01 AM
ADS

Awie memilih tempat yang tidak diketahui ramai untuk melafazkan akad nikah untuk kali ketiga dalam hidupnya hari ini.

Dikatakan berlangsung di luar negara penyanyi kumpulan Wings itu dilaporkan sah menjadi suami kepada Sharifah Ladyana Syed Samsuddin tengah hari tadi.

Menurut mStar majlis itu hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat saja bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Majlis kenduri pula dikatakan akan diadakan malam ini.

Menurut portal berkenaan tindakan merahsiakan lokasi majlis pernikahan itu dibuat atas kehendak Awie sendiri.

Tindakan itu dibuat kerana Awie bimbang ada pihak tertentu akan melakukan sabotaj terhadap majlisnya.

Difahamkan majlis pernikahan berkenaan berlangsung di Songkhla, Thailand.

Malaysiakini pada 4 Oktober lalu menyiarkan laporan mengenai Awie yang mendakwa mengalami penyakit misteri dan dipercayai ada kaitan dengan gangguan mistik.

Turut mengalami masalah sama, kata Awie, ialah dua anaknya serta Sharifah Ladyana sendiri.

Pasangan itu bertunang di Pulau Pinang pada 3 Jun lalu.

Awie mendirikan rumah tangga kali pertama pada 1998 dan wanita yang menjadi pilihannya ialah Arni Nazira Anuar.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurnaikan dua sepasang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Bagaimanapun Awie dan Arni Nazira bercerai pada 2006.

Pada 2005 Awie dinikahkan - secara rahsia di selatan Thailand - dengan Rozana Misbun, 38. Pernikahan itu diwarnai dengan kehadiran tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

Bagaimanapun rumah tangga itu menghadapi masalah dan kes mereka sedang dibicarakan di mahkamah.

Sementara itu BH Online melaporkan pasangan mempelai itu menitiskan air mata selepas pernikahan berlangsung.

Kata penyanyi Tragedi Oktober itu keikhlasan Syarifah Ladyana menerima dan melayan lima anak daripada perkahwinannya yang terdahulu memikat hatinya.

"Bagi saya, kebahagiaan ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya kepada anak-anak saya yang perlukan belaian ibu," katanya.

Lihat Komen