malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Marion nafi jadi punca penceraian Brangelina
Diterbitkan:  Sep 22, 2016 5:48 PM
Dikemaskini: 10:15 AM
ADS

Selepas didakwa menjadi pencetus pergolakan dan perceraian rumah tangga Angelina Jolie dan Brad Pitt, Marion Cotillard akhirnya tampil membuat penjelasan.

Marion menafikan bahawa dia menjadi penyebab punca perceraian pasangan yang digelar Brangelina oleh peminat itu.

Aktres kelahiran Perancis itu menegaskan konflik yang dikaitkan dengan dirinya itu menerusi status di Instagram.

"Saya tidak biasa memberi sebarang komen mengenai sesuatu perkara atau mengambil serius hal begini.

"Tetapi disebabkan situasi semakin memburuk dan menjejaskan orang yang disayangi saya terpaksa menjelaskan perkara sebenar," katanya.

Ia merupakan kali pertama Marion menjelaskan kepada umum mengenai spekulasi yang tercetus antaranya dan Brad selepas agak lama berdiam diri.

"Beberapa tahun lalu saya bertemu dengan seorang lelaki yang dicintai.

"Dialah kekasih, kawan baik, dan satu-satunya yang saya perlukan," katanya merujuk kepada suaminya.

Marion, 40, berkahwin dengan Guillaume Canet pada 2007 dan kini dikhabarkan sedang hamil anak kedua.

Angelina dan Brad Pitt dilaporkan media Hollywood bercerai pada 15 September lalu atas alasan "perbezaan yang tidak dapat diatasi" dan "kebaikan untuk keluarga".

Sementara itu, Brad mendedahkan kepada umum dia begitu terkejut, selain tersangat-sangat sedih apabila perkahwinannya berakhir.

Bagi Brad, perkara yang harus diutamakan sekarang adalah penjagaan keenam-enam anak mereka.

Difahamkan Angelina sedang memohon hak penjagaan kesemua anaknya selain meminta hakim membenarkan hak lawatan kepada Brad untuk bertemu anak-anak mereka.

Peguam Angelina, Robert Offer, dalam kenyataannya menjelaskan pelakon yang juga aktivis kemanusiaan itu merekodkan perpisahan itu sebagai “pembubaran perkahwinan”.

 

Lihat Komen