malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak puas hati sistem bunyi peminat tuntut ganti rugi
Diterbitkan:  Sep 10, 2016 3:10 PM
Dikemaskini: 7:29 AM
ADS

Tahap kualiti bunyi lemah berulang lagi pada konsert Raja Pop Mandarin Jay Chou di Singapura, mengakibatkan peminat mengambil tindakan menandatangani satu petisyen atas talian bagi menuntut ganti rugi.

Petisyen dimulakan pada 3 September lalu bersempena tarikh konsert The Invicible bertujuan mendesak penganjur Multimedia Entertainment mengembalikan wang tiket bernilai antara S$92 (RM276) hingga S$342 (RM1,000) kepada penonton.

Selain itu, orang ramai yang menghadiri konsert di Stadium Kebangsaan Singapura pada malam Ahad lalu turut menuntut penjelasan mengenai kegagalan sistem bunyi berlaku buat kali kedua selepas konsert pertama Jay di tempat sama dua tahun lalu.

Sebanyak 2,363 tandatangan dikumpul setakat semakan semalam.

Jumlah kehadiran penonton pada konsert berkenaan dianggarkan seramai 40,000 orang.

Pemula petisyen Goh Ying Sheng, 28, pada awalnya mengakui tidak berminat untuk menghadiri konsert selepas mengalami pengalaman pahit pada konsert Opus 2 kira-kira dua tahun lalu.

Ketika itu katanya bunyi daripada persembahan Jay tidak memuaskan penonton.

Namun, Goh yang bekerja sebagai penerbit media akhirnya mengubah fikiran selepas melihat pelan kedudukan yang menyediakan pembesar suara tambahan.

Untuk konsert kedua Jay kali ini, Goh membeli tiket S$122 (RM366) tetapi ia sekali lagi berakhir dengan kekecewaan apabila dia mendapati kedudukan kerusi berada lebih tinggi dari aras pembesar suara diletakkan.

“Kedudukan tempat duduk saya membuatkan saya tidak dapat mendengar sebarang bunyi selain pemandangan terhalang walaupun dalam pelan tidak ditunjuk begitu,” katanya.

Tiada terma jelas

Goh yang memilih untuk memulakan petisyen atas talian berkata dia mempunyai sebab kukuh berbuat demikian.

“Begitu banyak kali kami (peminat) berasa tidak terdaya dalam situasi sedemikian.

“Kami tidak dapat berbuat perkara lain selain mengadu atas talian.

“Saya berasakan peniaga-peniaga mengambil kesempatan kerana mereka fikir boleh berbuat sesuka hati,” katanya.

Tambahnya, mereka akan berpuas hati jika penganjur memulangkan 50 peratus daripada harga tiket yang dibeli selepas peminat membayar wang tanpa mendapat apa yang sepatutnya.

Hub Sukan dan Multimedia Singapura sebelum itu mengeluarkan kenyataan mereka memaklumi isu bunyi diketengahkan dan usaha penambahbaikan dibuat sejak konsert Opus 2 diadakan.

“Penganjur konsert melantik jurutera bunyi dari luar bagi mengendalikan sistem bunyi dan penyediaan set.

"Berdasarkan keadaan ini kualiti pembesar suara bertambah baik berbanding Opus 2 dan kedudukan beberapa alat itu diubah untuk mengurangkan halangan paparan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pengguna Singapura Seah Seng Choon berkata, usaha mendapatkan wang bayaran balik bukan mudah terutama apabila terma dan syarat tidak menggariskan senario yang boleh dituntut dengan jelas.

“Pun begitu, tiada perkara yang boleh menghalang penganjur daripada menawarkan sebarang bentuk pampasan sebagai amalan perniagaan yang baik bagi mengurangkan rasa tidak puas hati penonton,” katanya.

Lihat Komen