malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Mesej kekeluargaan buat Ummi Nazeera tersentuh
ADS

Pelakon Ummi Nazeera mengakui watak Siti hajar yang dilakonkannya dalam filem terbaru, Bisik Pada Langit benar-benar menyentuh hati dan meresap ke dalam jiwanya.

Ummi berkata dia memilih untuk menjayakan filem berkenaan selepas melihat nilai pengorbanan dan kekeluargaan yang cuba diketengahkan dalam filem arahan Khabir Bhatia itu.

Apatah lagi, Ummi sendiri adalah seorang yang sangat mementingkan nilai kekeluargaan dalam kehidupannya.

"Saya begitu tersentuh dengan aspek kekeluargaan dan mesej cuba diketengahkan (dalam Bisik Pada Langit).

"Saya sendiri mempunyai hubungan yang akrab dengan ibu dan abang, sebab itulah filem dengan nilai kekeluargaan menjadi pilihan hati kali ini," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan media Bisik Pada Langit di Kuala Lumpur semalam.

Untuk makluman, Bisik Pada Langit adalah filem kedua lakonan Ummi di bawah arahan Kabir selepas Nur Kasih (2009).

Menurut Ummi, dia sudah lama menunggu naskhah terbaru Khabir dan berpuas hati dengan karyanya, sambil menyifatkan pengarah itu seorang yang mementingkan perincian.

Filem berkenaan mengisahkan Wak Selamat, lakonan Jalil Hamid sebagai seorang bapa yang terlalu melebih-lebihkan anak perempuannya dalam segala hal.

Dalam keluarga, Siti Hajar juga mempunyai mempunyai seorang abang, Zaidi (lakonan Beto Kusyairi) dan adik, Ikram (Naim Daniel).

Pelbagai dugaan ditempuh Wak Selamat kerana dikatakan memiliki sifat pilih kasih terhadap anak-anak sendiri.

Walaupun cerita itu tiada kaitan dengan kehidupan sebenar dilalui Ummi, namun tema kekeluargaan yang diangkat dalam filem itu begitu dekat di hatinya.

Ummi dan keluarganya sendiri pernah melalui ujian dan mendapat perhatian umum apabila ibunya didakwa menggunakan sijil nikah palsu dalam perbicaraan kes penceraiannya.

Namun ibunya, Datuk Maziah Musa, 52 dibebaskan selepas pendakwaan gagal membuktikan prima facie.

Menurut Ummi, dia memilih untuk menyertai barisan pelakon Bisik Pada Langit kerana tertarik dengan skrip, selain mesej yang cuba disampaikan dalam filem itu.

“Apabila memilih skrip, saya gemar bahan yang banyak menyampaikan mesej berguna, ia tidak dipilih sembarangan. Bagi saya, perkara penting dalam melahirkan susanana harmoni dalam keluarga, ibu bapa janganlah membeza-bezakan kasih sayang antara anak,” katanya.

Lihat Komen