malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit Jagat harap kategori filem terbaik disatukan
ADS

Selepas mengharungi kontroversi, filem Tamil tempatan Jagat akhirnya meraih anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-28 yang berlangsung malam semalam.

Bagaimanapun penerbit filem itu berharap anugerah bagi kategori Filem Malaysia Terbaik yang dimenanginya dan Filem Terbaik Nasional akan digabungkan pada masa hadapan.

"Matlamat utama kami adalah ia digabungkan menjadinya satu," kata penerbit eksekutif Jagat Sivanantham Perianan pada sidang akhbar selepas majlis anugerah anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu.

Ditanya sama ada pasukannya gembira dengan kemenangan itu, Sivanantham berkata mereka telah lama berpuas hati.

"Kami memang dah berpuas hati dari dulu lagi. Semasa jadi kontroversi (Isu pengasingan kategori) pun kami memang cakap akan jadi sebahagian daripada proses untuk menambahbaik lagi. Sebab itu awal-awal kami kata tidak akan boikot (FFM)," katanya yang percaya konflik sentiasa berlaku bagi masyarakat Malaysia berbilang bangsa.

Ditanya antara filem Jagat dan Munafik, yang mana dirasakan lebih baik, Pengarah 'Jagat' Shanjhey Kumar Perumal menyerahkan kepada penonton untuk menilai sendiri.

"Biar penonton yang membuat penilaian. Anugerah yang terbaik adalah dari penonton sendiri, terpulang kepada penonton," katanya.

Anugerah itu, kata Sivanantham adalah satu bentuk pengiktirafan kepada mereka dan enggan mempersoalkannya.

"(Cuma) masa depan, pada tahun-tahun akan datang, kami berharap ia (proses) akan dipertingkatkan," katanya.

"Sebagai pembikin filem pertama kalinya, anugerah itu telah memberikan kita motivasi. Anugerah itu telah memberikan kita pengiktirafan yang tinggi untuk kita terus bekerja menghasilkan karya," tambahnya.

Kemenangan Jagat dianggap lebih manis kerana kos pembikinan filem itu hanya sekitar RM300,000 manakala RM200,000 lagi dibelanjakan untuk pemasaran.

Namun filem itu hanya berjaya meraih RM300,000 daripada jualan tiket di pawagam.

Cerita yang tak diceritakan

Shanjhey sementara itu percaya kekuatan Jagat datang dari hasrat untuk memaparkan 'kisah yang tak diceritakan'.

"Apa yang membuatkan Jagat kuat adalah kita memberitahu cerita yang tidak pernah diceritakan.Yang lain adalah mengenai bagaimana kita bekerja untuk cerita itu, menjadikannya menarik dengan pengalaman sinematik," katanya.

Filem ini memaparkan kisah pekerja ladang yang dipaksa berpindah ke setinggan pada tahun 1991, dengan mengetengahkan persoalan kemiskinan dan masalah sosial dalam kalangan golongan miskin.

Shanjhey, terdahulu mendedikasikan kemenangan beliau selaku Pengarah Harapan Terbaik sebagai "Perjuangan rakyat kelas sosial".

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan format terbaru FFM, Shanjey merasakan ia adalah satu permulaan yang baik.

"Kita tidak boleh menggembirakan semua orang, termasuk saya [...]. Kami hanya memberi dan menerima untuk masa depan yang lebih baik untuk industri," katanya.

Bulan lalu, pelbagai pihak mengkritik pengasingan filem di festival itu mengikut bahasa Melayu dan filem bahasa bukan Melayu.

Jagat dan Ola Bola pada mulanya hilang kelayakan untuk memenangi anugerah Filem Terbaik di FFM lantaran tidak memenuhi kriteria tersebut.

Selepas dikritik termasuk amaran untuk memboikot FFM daripada penggiat seni tanah air, Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuka penyertaan bagi kategori Anugerah Filem Terbaik kepada semua filem.

Kementerian itu kemudian mencipta kategori Filem Terbaik Nasional bagi kategori filem bahasa kebangsaan.

Walaupun filem Ola Bola tidak menang Anugerah Filem Terbaik, filem itu merangkul anugerah khas juri kerana meningkatkan nilai-nilai perpaduan dan hubungan keluarga melalui semangat sukan.

Lihat Komen