malaysiakini logo
story-image
ADS

Sang Ogos sudah berlalu selepas kita masing-masing sibuk melaungkan slogan "merdeka". Ia adalah laungan patriotik. Bagi sesetengah keadaan untuk menjadikan detik itu kelihatan lebih religious, laungan merdeka disertai takbir.

Mengikut sejarah orang pertama melaungkan merdeka sebagai slogan perjuangan adalah Ahmad Boestamam yang ketika itu mengetuai Angkatan Pemuda Insaf (API). Beliau mendapat aspirasi daripada semangat kemerdekaan di Indonesia.

Mengapa dia mengambil semangat dari Indonesia? Jika rajin untuk membuat perbandingan kita akan dapati perkembangan istilah berkaitan rasa patriotik negara ini dengan jiran memang jauh tercicirnya.

Taiplah pada papan kekunci, buat carian berdasarkan istilah "merdeka", "tanahair", "negara" atau apa-apa istilah yang boleh dikaitkan dengan semangat kebangsaan, ternyata 95 peratus daripada jawapan yang dicadangkan berasal dari negara tetangga kita itu.

Sebelum Ahmad Boestamam menyebut "merdeka" sebenarnya terdapat tulisan lebih awal mengenai istilah itu wujud, namun maknanya masih berada dalam ruang lingkup sempit.

Istilah merdeka ada disebutkan dengan dalam beberapa karya Melayu klasik walaupun ditulis/dilafaz dengan sedikit perbezaan. Ada yang menyebutnya sebagai "merdeheka" dan "merdehika".

Seperti kebanyakan istilah bahasa Melayu berasal daripada penyesuaian dengan bahasa Sanskrit, begitu juga istilah "merdeka" datang daripada asal sama iaitu "maharddhika" - membawa makna kekayaan, keagungan dan kekuasaan.

Namun kebanyakan istilah "merdeka" yang terdapat dalam karya Melayu klasik merujuk kepada keadaan semasa sosial yang mengamalkan sistem perhambaan. Oleh itu, istilah "merdeka" bercerita tentang status seseorang.

Falsafah merdeka terlarang

Dalam Sulalatus Salatin - sebuah kitab karya agung Melayu - hanya sekali "merdeka" dicatatkan. Ia merujuk kepada kisah si Badang yang dibebaskan daripada status hamba. Sulalatus Salatin mencatatkan: "maka dipanggil orang kaya Sayung; Badang pun dimerdehekakannya."

Di dalam Hikayat Amir Hamzah dicatatkan: ‘Kedua kuberi emas sekati akan upah, dan engkau pun kumerdahekakan; tetapi hendaklah engkau beri racun ini dimakan oleh ..."

Kitab Taj us-Salatin pula mencatatkan "pahalanya dalam akhirat seperti seorang sahaya dimerdekakan dalam dunia dengan karena Allah Ta'ala adalah merdekakan."

Yang lebih menarik tiada sepatah kata "merdeka" pun tercatat dalam kitab Hikayat Hang Tuah. Agaknya istilah tersebut pantang sekali disebut. Karya itu sepenuhnya tentang ketaatan pada yang berkuasa dan kerakusan sang penguasa terhadap yang lemah.

Semangat dan falsafah "merdeka" - walaupun dalam aspek peribadi - adalah terlarang untuk diabadikan dalam karya bangsawan.

Istilah "merdeka" pada karya-karya pascakolonial merujuk kepada pembebasan hamba sahaja. Ini kerana konsep "merdeka" yang difahami masyarakat hari ini sebenarnya tidak wujud.

Sejak 1511, hanya Melaka saja dianggap dijajah kuasa asing. Perak, Kedah, Selangor dan negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu adalah merdeka.

Jika dilihat dari koleksi surat-surat Francis Light di SOAS, London, istilah merdeka merujuk sistem perhambaan.

Tidak seperti istilah "derhaka" yang disebut kerap dalam Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin, Hikayat Pahang dan sebagainya. Namun kata "derhaka" diulang sebanyak 73 kali dalam Hikayat Hang Tuah.

Ia merupakan karya yang paling banyak mencatatkan istilah "derhaka" berbanding dengan karya-karya lain. Tentu sekali kerana Hang Jebat wujud dalam hikayat tersebut.

Akar kata "merdeka" berasal daripada perkataan "derhaka" yang dari segi bahasanya bermaksud menentang.

Sejak bila istilah "merdeka" mula digunakan bagi merujuk usaha membebaskan tanahair daripada sebarang cengkaman penjajah? Seawalnya bermula dari majalah Imam (1906-1908). Begitu juga dengan majalah Saudara (1928-1941) dan Majlis (1932-1941).

Ada banyak makna

Bagaimanapun ia tidak terus ditujukan dalam aspek politik sebaliknya lebih merujuk kepada isu ekonomi dan pendidikan.

Mengikut Malay Concordance Project yang diasaskan oleh Prof Dr Ian Proudfoot, istilah "merdeka" dalam majalah Imam merujuk kepada soal pembebasan daripada penjajahan asing.

Berikut salah satu kenyataan dalam majalah Imam: "Dan berhadap kami kepadanya dan lagi ialah yang dimerdekakan negeri Mesir dengan permohonan Muhammad Ali Basya dan ....."

Dalam majalah Saudara pula dicatatkan: "Dengan tuntutan-tuntutan bangsa-bangsa asing ini dimerdekakan oleh suratkhabar-suratkhabar di tanah Semenanjung".

Inilah abad yang mencetuskan semangat kemerdekaan politik daripada penjajah asing.

Berdekad-dekad selepas merdeka, istilah merdeka itu diselubungi dengan pelbagai makna. Antara makna yang bakal membakar kemerdekaan adalah kebebasan bernuansa liberalisme.

Kemerdekaan ini adalah berasaskan ideologi. Bukan sekadar pendekatan semata-mata.

Secara mudahnya, ia adalah penjajahan baru yang lebih ganas dan kejam kerana mereka yakin seseorang manusia menikmati kemerdekaan, keghairahan tersebut walaupun memusnahkan tradisi dan warisan berzaman.

Kerana sudah merdeka, mereka memiliki kebebasan. Takrif kebebasan itu tidak dicipta melainkan dicedok bulat-bulat daripada masyarakat yang didakwa bebas dan maju.

Kemerdekaan yang difikirkan itu sebenarnya memakan diri mereka sendiri. Antara yang awal menjadi mangsa adalah alam yang tidak bersuara. Hutan belantara diteroka sewenang-wenangnya atas nama pembangunan.

Teknologi yang ada pula bukan merapatkan interaksi tetapi memencilkan diri dalam lautan manusia.

Kerana merdeka, mereka semahu-mahunya menjarah khazanah negara. Kerana taksub pada kemerdekaan diri, ramai yang bersikap berdiam diri. Sombong dan bongkak.

Tanpa disedari, rakyat yang berdiri menyanyikan lagu Negaraku sebenarnya berada dalam kerangka yang memenjarakan walaupun diberi hak untuk menentukan kerajaan yang memerintah.

Memang sukar menyedarkan bagaimana sukarnya para pejuang kemerdekaan dulu meyakinkan masyarakat semasa untuk melepaskan diri masing-masing daripada belenggu Inggeris.

Dari satu sudut, ada kebenaran juga kenyataan Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim dan Prof Datuk Dr Zainal Kling yang mengatakan bahawa Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah.

Sejarah itu kembali pada lingkaran yang sama. Kita tidak merdeka!


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei

Lihat Komen