malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pekak terima dua anugerah di Russia
Diterbitkan:  Aug 31, 2016 8:53 PM
Dikemaskini: 1:39 PM
ADS

Filem Pekak mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima dua anugerah menerusi pertandingan Festival Filem Antarabangsa Motivasi yang berlangsung di Rostov-on-Don, Russia.

Filem terbitan Lightbulb Pictures yang dipersembahkan menerusi Grand Brilliance itu bersaing dengan 10 filem lain dari serata dunia.

Filem Pekak arahan Mohd Khairul Azri Md Noor itu memenangi Anugerah Skrip Terbaik manakala Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi oleh Zahiril Adzim, 32, yang membawakan watak sebagai Uda.

Filem itu yang dijangka ditayangkan serentak di seluruh negara bermula esok menampilkan kisah Uda, seorang pemuda yang mempunyai kecacatan pendengaran dan menyara hidup sebagai pengedar dadah.

Uda memilih jalan hitam itu kerana ingin menampung kos pembiayaan rawatan koklea yang mencecah puluhan ribu.

Turut membarisi Pekak adalah Zaidi Omar, Sharifah Amani, Sharifah Sakinah, Amerul Affendi dan Iedil Putra.

Festival filem berkenaan adalah kali kedua diadakan dan ia berlangsung dari 24 hingga 28 Ogos lalu.

Memetik laporan daripada portal rasmi pertandingan berkenaan, pengerusi untuk barisan hakim pertandingan Bridge of Arts 2016 itu dikendalikan oleh penerbit Britain Pippa Cross.

Barisan hakim terdiri daripada Aydin Salman, Alessdandro Passadore, Mira Gavyarova dan Alyona Babenko.

Juri bagi kategori filem pendek pula dibarisi oleh penerbit Perancis dan pengarah Alain Depardieu, Anatoliy Kotenyov dan Vladimir Alenikov.

Antara kategori lain yang turut dipertandingkan adalah Anugerah Utama (Grand Prix), Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Filem Pendek dan Anugerah WWF.

Filem lain yang turut bertanding adalah The Prosecutor, The Defender, The Father and His Son memenangi hadiah utama, The Choice (Pengarah Terbaik), Xla (Pelakon Wanita Terbaik), A Horse with Hope (WWF) dan The Forgotten (filem pendek).

Ini adalah kali ketiga Pekak ditayangkan di persada antarabangsa selepas program Malaysia Goes to Cannes di Marche du Film 2016 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM) pada Mei lalu.

Ia juga pernah membuat tayangan perdana di Fesitval Filem Perdana Dunia Filipina pada tahun lalu.

Lihat Komen