malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
XPDC kini kena tahan sabar di atas pentas
ADS

Bukan sudah kehilangan ‘mojo’ atau magis beraksi semakin berkurang, cuma seiring dengan waktu dan usia, kumpulan XPDC mahu mengurangkan kelincahan di atas pentas.

Tidak seperti dahulu, kumpulan yang menjadi ikon heavy metal negara memilih untuk mengelak daripada terkinja-kinja tidak menentu hala dengan alasan ‘segan’ dengan generasi lebih muda.

Sehubungan itu kata vokalisnya, Mael, dengan usia yang semakin lanjut, tidaklah sesuai untuk anggota kumpulan itu mempamerkan aksi agresif seperti dulu lagi.

“Saya tidak mahu sekiranya anak terkejut dan salah anggap melihat aksi bapa dia di atas pentas, walhal sejak dari muda sudah memang begitu.

“Kami rasakan dengan usia begini, sudah tidak sesuai untuk beria-ia di atas pentas, malu pada anak-anak,” katanya.

Kata-kata Mael itu turut disambut oleh basis kumpulan itu Zuar.

Menurut Zuar, kalau diikutkan hati keinginan untuk beraksi lincah tidak pernah surut dari sanubari, malah seakan sudah sebati dengan diri masing-masing.

“Kami kena tukar gaya persembahan semasa di atas pentas, jadi biarlah ia sesuai dengan usia, tetapi kalau diikutkan hati saya masih boleh ‘terbang’ lagi.

“Mungkin semasa hendak memperkenalkan XPDC masa dahulu membuatkan kami begitu berkobar-kobar.

“Sekarang XPDC mempunyai jenama sendiri, tidak perlu lagi beraksi keterlaluan,” katanya.

Pernah terkenal dengan jolokan Raja Funfair, XPDC yang diwujudkan 1989 masih mempunyai kelompok peminat setia hingga kini.

XPDC mula mencipta nama menerusi lagu C.I.N.T.A ciptaan Z N Kevin dan lirik oleh arwah J S Kevin.

Namun XPDC bagai tidak lekang dari dilanda kontroversi dan akhirnya pada 2015, ia menyaksikan kumpulan itu berpecah kepada dua.

Tidak mahu berseteru

Mael mengetuai kumpulannya bersama Zuar, Jeff (gitar utama) dan Amy (dram), manakala satu lagi kumpulan XPDC terbina, diketuai Izo (gitar utama) selain dibarisi Ali (vokal), Eddie (basis) dan Lola (dram).

Dengan peminat tersendiri, Mael berkata XPDC kini turut menjadi pilihan generasi muda di kalangan berusia 18 hingga 20-an.

Mengakui terkejut dengan penerimaan peminat yang lebih muda, Mael nyata teruja.

“Dalam persembahan terbaru, tidak disangka peminat yang duduk di barisan hadapan adalah mereka yang teramat muda. Setiap lagu dipersembahkan mereka hafal, hayati dan turut menyanyi bersama.

“Kami berharap generasi baru seperti ini sentiasa berkembang kerana ia memberi motivasi untuk terus berada dalam industri ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu memiliki nama ekslusif XPDC, penggunaan nama berkenaan masih belum diputuskan.

Meskipun sudah berpecah, kedua-dua kumpulan masih lagi menggunakan nama XPDC yang mengikut hak adalah di bawah keputusan Life Records apabila ia didaftarkan pada 1998.

Zuar menjelaskan walaupun isu terbabit masih belum diselesaikan, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan kumpulan yang satu lagi.

“Kami tidak berseteru cuma berharap dapat menghiburkan peminat dengan anggota asal.

“Apa pun, band ini memasang harapan untuk isu nama ekslusif XPDC dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia menghalang proses untuk kami mengeluarkan single,” katanya.

Lihat Komen