malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Cinta Nadira bercahaya di Istana Budaya
ADS

Pertama kali beraksi di Istana Budaya tidak kelihatan Nadira Adnan gementar sebaliknya dia berjaya menunjukkan semangat luar biasa di sepanjang persembahannya.

Seperti pernah dikatakan sendiri oleh Nadira, cinta membawa pengertian yang cukup meluas baginya.

Justeru nama konsert yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu lalu turut mengambil sempena nama itu - Cinta - seperti perasaannya pada bidang nyanyian dan tanahair yang dipendam sejak kecil.

Untuk meraikan Cinta Nadira, senarai lagu dan set montaj berunsurkan patriotik turut mengiringi persembahan yang berlangsung lebih dua jam itu.

Cinta Nadira turut diraikan bersama beberapa rakan artis yang juga idolanya seperti Noh Salleh, Yuna, Amy Search, Joe Flizzow serta teman rapatnya Al Ghazali yang diterbangkan khas dari Jakarta.

"Terima kasih kerana hadir dan membenarkan impian saya menjadi kenyataan.

"Saya berdiri di sini malam ini kerana ingin meraikan rasa cinta kepada negara, rakyat Malaysia dan karier," kata Nadira, 19, memulakan salam perkenalan seusai menyanyikan lagu Ini Tuh Tidak Baik.

Namun, kehangatan tempat duduk tidak sepanas yang diharapkan apabila 10 minit pertama diikuti lagu I'm in Love persembahan Nadira, penonton sudah mulai resah dengan kualiti sistem bunyi dan vokal yang diperdengarkan.

Tetapi mungkin masih awal untuk membuat penilaian keterlaluan, peluang diandaikan masih terbuka untuk Nadira - atau nama penuhnya Tengku Nadira Munawarah Tengku Adnan - dan produksi membetulkan kesilapan sebelum malam itu berakhir.

Walaupun mungkin ada ketidaksempurnaan pada set pertama tadi, penonton yang memenuhi ruang di Istana Budaya dilihat masih tidak berganjak.

Waktu terus bergerak pantas - sepantas aksi rancak Joe Flizzow untuk Evo - diikuti lagu Baek dan duetnya bersama Nadira untuk Apa Khabar.

Lagu Cinta Datang Dan Pergi kemudian didendangkan secara duet oleh Nadira bersama Al Ghazali - anak kepada selebriti terkenal Ahmad Dhani dan Maia Estianty.

Namun, perasaan hampa tadi masih tidak surut kerana Al Ghazali pula dilihat seolah kurang berkeyakinan untuk berada di atas pentas, sebaliknya sekadar menayangkan rupa tetapi tidak memberikan vokal mantap.

Menggandingkan Nadira dengan beberapa nama terkenal tanahair boleh dikatakan satu tindakan amat bijak oleh penganjur, Nadira Music Management dan Mawlaya Network.

Walaupun Nadira kurang berpengalaman mengadakan konsert, tetapi ‘berdampingan’ dengan nama yang tidak asing menjadi pembakar semangat untuknya menjayakan konsert malam itu.

Justeru, Nadira yang mungkin terinspirasi kembali merebut takhtanya di atas pentas selepas menyampaikan Cinta Apa Macam Begini dan berduet dengan Noh Salleh dalam lagu Sang Penikam.

Mengalunkan gitar sambil berkaca mata hitam, Noh mengakhiri persembahannya dengan Bunga Di Telinga dan Angin Kencang yang diiringi montaj memaparkan peringatan kepada mangsa tragedi MH370.

Terukir di bintang

Segmen khas yang menyusuri selepas itu disampaikan Nadira dengan persembahan rangkaian lagu I Have Nothing nyanyian asal Whitney Houston, Best Mistake (Ariana Grande), Dia (Vina Panduvinata) dan Sinaran (Datuk Sheila Majid).

Meskipun sudah berusia, namun aksi lincah dan bertenaga daripada penyanyi rock tanahair, Amy, melalui lagu Saat Kuidamkan dan Kerja Gila benar-benar menggegarkan pentas Istana Budaya malam itu.

Nadira kemudian menguji keupayaan vokalnya dalam Fantasia Bulan Madu menerusi duet bersama Amy.

Pujian wajar diberikan ke atas rekaan pementasan dan pencahayaan yang memukau malam itu kerana ia menimbulkan keterujaan untuk terus menikmati persembahan hingga ke penghujung.

Selain itu, konsert ini turut dimantapkan dengan persembahan pemuzik iringan pimpinan Eddie Slam sebagai pengarah muzik.

Akhirnya saat penuh dinantikan muncul tiba, sebelum tiba ke segmen penghujung, Yuna dengan suara tidak ubah seperti dalam radio mengisi pentas dengan lagu Terukir Di Bintang.

Tanpa perlu menunggu lama, suara merdu Yuna terus mengalunkan Crush - sebuah lagu kolaborasi bersama penyanyi AS Usher yang sekaligus melonjakkan namanya di persada antarabangsa.

Nadira mengambil tempat semula di atas pentas dengan rangkaian lagu medley Sayang dan Januari Terindah.

Lagu Isi Hati menjadi penutup konsert malam itu ia juga adalah judul album sulung yang telah diedarkan di pasaran tempatan dan Indonesia - tempat kelahiran ibunya Beatrice dan tempat dia melanjutkan pelajaran.

Secara keseluruhan, keupayaan ditunjukkan Nadira sebenarnya banyak menampung kekosongan yang mungkin terpalit sepanjang persembahan yang disampaikan.

Biarpun masih baru, dia sudah menunjukkan kebolehan menguasai pentas dan bijak mengatur bicara bersama penonton.

“Saya mungkin tidak dapat tidur malam ini kerana berjaya melaksanakan impian pada malam ini,” katanya mengakhiri persembahan.

Lihat Komen