malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana tak berbaju Zul gigih melawan 'nafsu'
ADS

Kehidupan Zul Ariffin sebagai aktor sasa dan memiliki nafsu makan yang tinggi diuji apabila dia menerima tawaran membawa watak utama filem Tombiruo: Penunggu Rimba.

Bagi memastikan kesesuaian diri dan cerita yang dibawa, dia mencabar dirinya sendiri untuk mengekang nafsu itu. Justeru dia cuma makan sekali sehari.

Inisiatif yang tidak pernah dipaksa sesiapa itu dilaksanakannya demi menjayakan filem diadaptasi daripada novel Ramlee Awang Murshid dengan judul sama.

Difahamkan untuk watak lelaki yang tinggal di hutan, Zul, 30, perlu tampil dengan saiz badan sedikit kecil daripada susuk fizikal asalnya.

Katanya, pihak produksi tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana dia harus menzahirkan watak Tombiruo yang ideal.

Justeru Zul mengambil keputusan menurunkan berat badan dengan mengamalkan diet secara drastik - tanpa makan nasi, perbanyakkan minum air dan cukup hanya makan sekali sehari.

“Akibatnya, saya sering terduduk lesu tetapi mujur mengambil minuman bergula membantu menaikkan semula tenaga untuk bekerja.

“Untuk seseorang yang kuat makan, cabaran sebegitu memang payah kerana apabila melihat orang lain makan, saya terpaksa menelan air liur saja,” katanya yang kini mempunyai berat badan kira-kira 81 kilogram.

Zul ditemui di majlis pelancaran filem Tombiruo: Penunggu Rimba di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia memegang watak sebagai Ejim atau Tombiruo - makhluk mistik dan menyeramkan - yang kehidupannya tidak pernah bertemu manusia lain di luar kepompongnya.

Sentuhan orang penting The Matrix

Lagenda Tombiruo sering ditakuti kerana tidak berwajah manusia selain sering dicaci.

Insiden tragis yang tercetus dalam kehidupan Tombiruo menjadikannya seorang pendendam tetapi pada masa sama terdedah dengan erti persaudaraan, keluarga dan cinta.

Tombiruo: Penunggu Rimba diarah Nasir Jani dan dibantu oleh Seth Larney yang pernah terbabit dalam pembikinan filem seperti The Matrix Reloaded, Star Wars: Revenge of the Sith dan X-Mens Origins: Wolverine.

Tombiruo: Penunggu Rimba memulakan penggambaran Julai lalu dan dijadual menemui penonton pada tahun depan. Ia turut dibarisi pelakon Faizal Hussein sebagai Pondolou, Nabila Huda (Wan Suraya), Hasnul Rahmat (Juslan), Datuk M Nasir (Tan Sri Berham), Datin Marlia Musa (Bonda) dan Dynas Mokhtar (Baizura) dan Farid Kamil.

Zul memberitahu, rejim diet kurang sihat diamalkannya turut meminta 'korban' apabila ligamen lututnya koyak dan dia diminta berehat selama 10 hari.

Ternyata menjayakan karakter Tombiruo tidak mudah bagi Zul yang sering tampil dalam slot drama romantik seperti Nora Elena, Maid dan Istikharah Cinta - semuanya perlu berbaju.

Selain tidak menunjukkan wajah sebenar, Zul juga perlu tampil tanpa baju dari awal hingga ke penghujung kisah Tombiruo.

Menurutnya, walaupun gigih menurunkan berat badan, demi kepuasan dia juga harus membina otot demi penampilan yang ingin diketengahkan.

Akui Zul, melakonkan aksi tidak berbaju menyebabkannya timbul perasaan kurang yakin malah kekok.

“Walaupun gigih menurunkan berat badan pada masa sama saya mahu membentuk otot kekar dapat ada keseimbangan pada watak dibawa.

"Dan sepanjang bertopeng pula saya tidak banyak berdialog hanya 10 peratus saja percakapan digunakan selebihnya menggunakan mata.

“Bagi saya, semua itu adalah cabaran. Kalau berjaya memberikan lakonan mantap tetapi paparan watak tidak dipenuhi, itu masih tidak memadai,” katanya.

Lihat Komen