malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
FINAS minta hormati mekanisme baru FFM
Diterbitkan:  Aug 19, 2016 1:26 PM
Dikemaskini: 5:37 AM
ADS

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malayia (FINAS) selaku penganjur Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) berharap semua pihak menghormati mekanisme baru yang diumumkan baru-baru ini dan melihat keputusan itu dari sudut positif.

Pengerusi FINAS Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib juga menjelaskan kategori baharu anugerah filem terbaik bahasa kebangsaan akan dikenali sebagai Anugerah Filem Terbaik Nasional.

“Kategori Anugerah Filem Terbaik Nasional FFM28 adalah anugerah utama kebangsaan kepada filem terbaik yang dihasilkan rakyat Malaysia menggunakan bahasa Malaysia sebagai pertuturan filem selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Kategori Anugerah Filem Terbaik Malaysia FFM28 pula anugerah terbaik festival kepada filem yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia dengan menggunakan sebarang bahasa pertuturan di negara ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pertemuan pelbagai pihak dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Keruak 16 Ogos lalu.

Ia melibatkan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Seniman dan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) pada 16 Ogos.

Dalam pertemuan itu, penjelasan dibuat berkaitan mekanisme baru FFM28 selaras dengan pemansuhan kategori filem, pengarah dan lakon layar terbaik bagi filem bukan dalam Bahasa Malaysia dan kewujudan Anugerah Filem Terbaik Berbahasa Kebangsaan sebelum ini.

FFM28 mendapat bantahan meluas dan keras, apabila FINAS dan PFM sebelum ini menyediakan dua kategori berbeza berdasarkan penggunaan bahasa Malaysia atau bukan.

Terdapat seniman mengambil keputusan memulaukan acara itu dan memulangkan trofi dimenangi dalam plastik sampah.

Namun, pada masa sama beberapa pihak menyokong langkah berkenaan seperti Persatuan Karyawan Malaysia dan kumpulan pendesak Melayu PERKASA.

Dalam kenyataan hari ini, FINAS berharap semua pihak menerima keputusan berkenaan tanpa prejudis dan polemik.

Ini, kata Mohd Khusairi, selari dengan objektif utama Festival Filem Malaysia sebagai pengiktirafan kerajaan kepada pencapaian dan kecemerlangan karyawan industri filem negara.

Lihat Komen