malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Demi filem Raja Ilya rela lakukan apa saja, asalkan...
ADS

Memiliki bakat, paras menawan dan komersial belum dapat meyakinkan pelakon Raja Ilya bahawa sesebuah filem lakonannya terjamin mencapai status pecah panggung.

Malah hingga ke saat ini, Raya Ilya, 31, percaya ada faktor lain yang membuatkan dirinya sering tewas berbanding aktres lain.

Bagi Raja Ilya, apa saja 'kelebihan' dimilikinya ketika ini belum cukup untuk menjadi pendorong penonton keluar membeli tiket wayang menonton filem lakonannya.

“Zaman ini perkara yang membuat saya khuatir adalah kebanyakan penonton memilih faktor populariti berbanding bakat.

“Saya bimbang sekiranya tahap populariti saya belum mencukupi untuk membolehkan sesebuah filem diterima ramai.

“Justeru, terdetik di hati watak besar yang diberi kepada saya dalam sesebuah filem mungkin wajar diberi saja kepada pelakon lain,” katanya.

Kenyataan Raja Ilya itu merujuk kepada filem terbaru lakonannya, KL Vampires.

Dalam filem itu Raja Ilya membawa watak ratu pontianak bergelar Citra Sari - berusia 700 tahun - dan bersifat protagonis.

Sebelum ini dia lebih sering membawa karakter antagonis.

Selain Raja Ilya, KL Vampires yang kini sedang menjalankan penggambaran di sekitar ibu kota dan Indonesia turut menampilkan Aeril Zafrel, Reen Rahim, Pablo Amirul serta dua pelakon Indonesia, Ismi Melinda dan Donny Alamshah.

Suka mencabar diri

Di sebalik kurang keyakinan diri itu, Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad sanggup mengabdikan diri demi karier yang diceburi.

Untuk itu, anak kelahiran Ipoh, Perak itu rela melakukan apa saja untuk memastikan periuk nasinya terjaga - asalkan ia tidak melampaui batas.

“Demi lakonan, saya berusaha buat sehabis mungkin.

"Campaklah saya ke mana-mana pun, meskipun watak itu buruk dan teruk saya sanggup lakukan,” kata pelakon siri Cinta Ibadah itu.

Mengenai filem terbarunya bagi Raja Ilya ia sesuatu yang baru dan menerima tawaran berlakon selepas membuat penelitian.

Katanya, dia memang gemarkan aksi lasak. Justeru tawaran KL Vampires itu dianggap bersesuaian dengan dirinya lalu memberikan persetujuan untuk menggalas tanggungjawab yang dirasakannya besar itu.

Malah untuk menjayakan watak itu, seorang guru aksi dari Indonesia dibawa masuk ke lokasi.

“Saya memang memiliki ilmu taekwondo dan pernah menggunakannya dalam beberapa watak lakonan sebelum ini.

“Masa menerima tawaran KL Vampires saya tak disangka ia memerlukan pertarungan yang rumit hingga seorang guru perlu dibawa untuk memantaunya.

“Saya memang suka mencabar diri apatah lagi dalam bab yang memerlukan kemahiran seni bela diri," katanya yang mengaku antara cabaran besar untuk aksi itu adalah memastikan dia tidak terjatuh ke dalam gaung.

Lihat Komen