malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
XPDC mahu sebar patriotisme September ini
ADS

Sambutan hari kemerdekaan memberi makna dan pengertian tersendiri buat kumpulan heavy metal tanah air, XPDC yang satu ketika dahulu pernah menerima jolokan sebagai raja fun fair Malaysia.

Justeru mengambil sempena tarikh bersejarah itu XPDC berhasrat menyebarkan semangat patriotisme menerusi sebuah konsert mini yang akan diadakan khusus untuk peminat setia mereka pada 3 September nanti.

Mengambil nama sempena tajuk salah satu lagu mereka, Selendang Merdeka, konsert mini itu akan dibarisi anggota asal XPDC dan menjadi tempat peminat melepaskan rindu mereka.

"Kami ingin meniup semangat tentang erti kemerdekaan yang sudah semakin tidak dihiraukan khususnya buat orang muda.

"Pada masa sama kami ingin menghiburkan peminat dengan irama yang didendangkan oleh anggota asal XPDC," kata pemain bass kumpulan itu, Zuar, ketika ditemui media di Kuala Lumpur hari ini.

Selain Zuar dan Mael selaku vokalis, XPDC turut dianggotai pemain dram Amy dan gitaris Jeff.

Meskipun tarikh konsert beberapa hari lewat dari tanggal sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos, Mael berpendapat ia tidak menghalang peminat daripada membanjiri lokasi yang mereka pilih untuk konsert berkenaan iaitu Versus Club di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Bercakap mengenai sambutan pada konsert itu pula, Mael yakin dengan 'kuasa' penyokong tegar XPDC dan percaya peminat mereka sentiasa menyokong perjalanan band berkenaan meskipun ia kini sudah terpecah dua.

Bagi Mael, jumlah kehadiran penonton pada konsert mini itu nanti bukan perkara paling utama kerana apa yang lebih penting adalah mereka mampu melakukan persembahan terbaik.

"Sambutan sebenarnya ikut musim, bagaimanapun ia tetap bergantung kepada peminat yang rindu hendak menyaksikan persembahan XPDC.

"Apabila ada platform untuk mengadakan konsert mini yang dibuat khas untuk peminat pasti mereka akan datang

"Kami akan sedaya-upaya memberikan persembahan yang terbaik, selagi bernafas," katanya.

Sebagai permulaan, XPDC akan membuka tirai siri persembahan secara langsung di Versus Club itu diikuti kumpulan yang popular dengan lagu Hang Pi Mana, Khalifah pula pada 2 Oktober.

Lihat Komen