malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bukan bahasa semata-mata angkat martabat filem
ADS

Untuk mengangkat martabat sesebuah bahasa, ia boleh dilakukan melalui pelbagai cara dan tidak semestinya menggunakan wadah filem.

Pada masa sama pelakon Wan Hanafi Su berpendapat pada sesebuah filem bukan elemen bahasa semata-mata yang mengangkatnya menjadi sebuah karya yang berkualiti.

Bercakap kepada Malaysiakini Wan Hanafi berkata membuka semua penyertaan untuk dinilai bagi kategori filem terbaik untuk Festival Filem Malaysia (FFM) kali ini adalah langkah yang betul kerana ia mempelbagaikan persaingan.

"Saya amat bersetuju dengan keputusan itu kerana sekalipun filem tempatan dibuat dalam bahasa Tamil, ia tetap melambangkan Malaysia dan tidak sepatutnya menjadi masalah," katanya semalam.

Wan Hanafi diminta mengulas perkembagan menjelang FFM ke-28 yang akan diadakan antara 1 hingga 3 September ini.

Bermula dengan cadangan penganjur mengasingkan penyertaan filem berbahasa kebangsaan dan bukan dalam bahasa Malaysia Menteri Komunikasi dan Multimedia pada 10 Ogos mengumumkan perubahan dibuat selepas pelbagai pihak menyatakan bantahan mereka.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak juga mengumumkan penganjur mewujudkan satu kategori baru, iaitu Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan.

Bagaimanapun Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) kemudian mengumumkan menarik diri daripada FFM ke-28 ini kerana tidak bersetuju pemansuhan tiga kategori bukan bahasa Malaysia.

Nak begitu sampai bila

“FDAM tidak lagi bersama FFM ke-28 bermula pada saat perlembagaan dilanggar dan dihina dengan mengiktiraf karya bukan berbahasa kebangsaan untuk anugerah peringkat kebangsaan,” kata setiausaha kehormat persatuan itu Datuk Abdul Rahim Awang dalam kenyataannya pada Khamis.

Kategori yang dibatalkan adalah filem terbaik (bukan Bahasa Malaysia), pengarah terbaik (filem bukan Bahasa Malaysia) dan lakon layar terbaik (filem bukan Bahasa Malaysia).

FDAM sebelum ini menyatakan sokongan kepada format asal. Pada masa sama Penolong Setiausaha Agung FDAM Hafiz Ibrahim meletak jawatan kerana membantah kaedah awal FFM ke-28.

Wan Hanafi berkata dia percaya FDAM mempunyai sebab tersendiri untuk menarik diri daripada menyertai FFM tahun ini.

Katanya sudah lumrah dunia sesuatu perubahan yang dibuat memberi kesan pro dan kontra.

"Bagi saya sememangnya dilihat lebih patriotik kalau festival filem mendahulukan Bahasa Malaysia.

"Tetapi nak buat dua kategori (secara berasingan) pun tidak mengapa, cuma sampai bila?

"Masing-masing ada pendirian. Penggiat bahasa ada perjuangannya dan komen saya ini hanya sebagai aktivis biasa (perfileman)," katanya.

Lihat Komen